'Harap PKNP FC semangat macam Liverpool'

Zainol Fadzi (dua, kiri) pada sidang media berkenaan.
Zainol Fadzi (dua, kiri) pada sidang media berkenaan.
A
A
A

IPOH - "Kita harap PKNP FC ada semangat macam Liverpool,"

Itu reaksi Presiden PKNP FC Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menjelang aksi suku akhir kedua Shopee Piala FA berdepan Perak di Stadium Perak, esok.

Zainol Fadzi berkata, semangat kebangkitan luar biasa yang ditunjukkan The Reds itu mampu dijadikan inspirasi buat kesebelasan PKNP FC.

Malah menurutnya, PKNP FC bakal beraksi dengan semangat baharu apabila menamakan pemain Brazil, Pedro Victor Calil Sandoval, 25 sebagai import terbaharu pasukan.

"Semangat kebangkitan Liverpool ketika menewaskan Barcelona 4-0 pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini (walaupun tewas 0-3 pada aksi separuh akhir pertama) diharap dapat menjadi inspirasi kepada PKNP FC.

"Justeru kita harap, kehadiran pemain import baharu kita, Pedro akan membantu memperkuatkan lagi benteng pertahanan pasukan menjelang aksi penting ini," katanya pada sidang media sempena majlis memperkenalkan pemain import PKNP FC itu di sini hari ini.

Tambah Zainol Fadzi, pihaknya yakin Perak akan bermain secara menyerang bagi mencari gol awal pada perlawanan esok.

"Oleh itu, kehadiran Pedro diharap mampu mengimbangi asakan-asakan berkenaan kerana dia bukan sahaja boleh beraksi di posisi pertahanan tetapi juga di posisi tengah bertahan," katanya.

Untuk rekod kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 30 April lalu.

Sementara itu ketua jurulatih PKNP FC Abu Bakar Fadzim berkata, kesebelasan pemain PKNP FC telah diarahkan untuk memberikan aksi terbaik esok.

Katanya, perlawanan berkenaan juga pastinya menjadi pertembungan yang menarik bagi dua pasukan senegeri.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu Perak akan bermain secara menyerang, ditambah dengan kehadiran dua penyerang import baharu mereka.

"Oleh itu, kita tak boleh buat sebarang kesilapan dan perlu menunggu masa yang tepat untuk kita lancarkan asakan," katanya.