Serah jawatan PM kepada Anwar, Kit Siang ajak Tok Mat bertaruh

Lim Kit Siang (kiri) dan Mohamad Hasan
Lim Kit Siang (kiri) dan Mohamad Hasan
A
A
A

SANDAKAN - Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang sedia bertaruh dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kit Siang membuat taruhan itu selepas Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat menjangkakan Mahathir tidak akan berbuat demikian, sebaliknya akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan lebih awal.

Veteran DAP itu berkata, beliau akan bersara daripada politik dan tidak bertanding PRU15 sekiranya Mahathir tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

"Saya lebih percayakan Mahathir dan saya sedia bertaruh dengan Mohamad bahawa Mahathir akan menunaikan komitmen PH untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar," katanya dalam ceramah di Taman Mesra di sini malam tadi.

Kit Siang turut mencabar Mohamad untuk tarik diri daripada politik dan tidak bertanding dalam PRU15 jika Mahathir mengotakan janjinya.

"Kita beri masa dua hari kepada Mohamad untuk terima taruhan ini atau tidak," katanya.

Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata, UMNO sedang menumpukan usaha menghadapi PRU15 kerana menjangkakan kerajaan PH cuma bertahan dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.

ADUN Rantau itu mendakwa, Mahathir yang dikenalinya tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Artikel Berkaitan: