Peniaga dipenjara 30 bulan papar berita berkaitan Daesh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga terpaksa menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi selepas Mahkamah Tinggi di sini, menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadapnya kerana memaparkan berita dan imej berkaitan kumpulan pengganas Daesh dalam Facebook miliknya, tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhd Syahir Muhammad Nordin, 28, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes berkenaan hari ini, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 19 Nov 2018.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Mohd Nazlan menegaskan kesalahan dilakukan tertuduh serius dan mengancam keselamatan sistem demokrasi berparlimen serta memberi ancaman kepada masyarakat jika tidak dibendung.

Hakim itu berkata objektif setiap hukuman jenayah adalah untuk memberi pengajaran kepada masyarakat dan dapat mencegah tertuduh daripada mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

"Diharap supaya tertuduh sedar dan lebih berhati-hati agar tidak terlibat dalam kegiatan melanggar undang-undang negara terutama melibatkan isu keganasan. Mahkamah harap hukuman ini akan memberi peluang kepada tertuduh untuk memperbaiki diri," katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhd Syahir didakwa memaparkan item-item berkaitan kumpulan pengganas Daesh di Bahagian E8, Counter Terrorism, Tingkat 33, Menara Dua, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 13 Jun 2016, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item itu.

Terdahulu, peguam Farida Mohammad yang mewakili Muhd Syahir memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah dan menjimatkan masa mahkamah selain tiada rekod kesalahan lampau.

"Anak guam saya berasal daripada keluarga susah dan mempunyai tahap pendidikan formal dan agama yang rendah...dia belajar di sekolah menengah pun tak habis dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun dia tak ambil. Disebabkan itu, dia tidak dapat berfikir panjang serta tidak tahu perbuatan dilakukan adalah salah," kata peguam itu.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memohon hukuman setimpal atas alasan kesalahan itu membabitkan fahaman dan ideologi terhadap propaganda Daesh serta mengancam keselamatan negara.

"Laporan pakar juga jelas menyatakan Muhd Syahir adalah penyokong tegar Daesh dan terpengaruh dengan fahaman kumpulan militan itu," katanya.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis menahan tertuduh di Kota Bahru, Kelantan kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan dan selepas itu anggota penguat kuasa menyerbu sebuah rumah dan merampas beberapa barangan termasuk dua unit komputer riba serta empat telefon bimbit.

Siasatan dijalankan terhadap barangan tersebut mendapati tertuduh mempunyai tiga akaun Facebook dengan dua daripadanya disekat ekoran terdapat unsur berkaitan pengganas termasuk berita dan gambar peperangan orang Islam yang mati terbunuh. - Bernama