Dr Ahmad Hafizam sangkal teori saksi Dr Shahrom

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi ke 24 Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipanggil semula memberi keterangan hari ini, menyangkal teori yang dikemukakan oleh saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid kepada Mahkamah Koroner.

Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, Dr Shahrom telah menggunakan formula daya yang tidak tepat untuk mendapatkan jumlah impak kecederaan terhadap Muhammad Adib.

Menurutnya, formula F= (jisim X kelajuan) adalah tidak tepat kerana tidak mengambil kira kelajuan van EMRS yang sedang mengundur.

"Kiraan ini tidak tepat kerana tidak mengambil kira jisim van EMRS yang merupakan objek menghentam belakang badan kiri mangsa," katanya.

Beliau berkata, total F= (jisim van EMRS X kelajuan van EMRS)+ (jisim mangsa X graviti).

"Berdasarkan keterangan saksi ke- 29, kelajuan van EMRS yang mengundur adalah 17 KM/J, jumlah impaknya adalah 8,306 newton.

"Sekiranya van EMRS mengundur pada kelajuan 8KM/j, ia akan menghasilkan 4,796 newton," katanya.

Dr Ahmad Hafizam berkata, kesimpulannya kedua-dua kiraan menunjukkan daya melebihi 3,300 newton dan cukup mematahkan tulang rusuk.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, saksi tersebut juga tidak bersetuju dengan Dr Shahrom bahawa mangsa ditarik dari van EMRS dan tersepit antara jenang dan daun pintu.

"Struktur pintu yang dikatakan mengenai dada mangsa adalah sepanjang 28 sentimeter (cm) sedangkan saiz kecederaan di badan mangsa hanyalah 15 cm," katanya.

Pada prosiding dihadapan Koroner, Rofiah Mohamad itu, saksi tersebut juga tidak bersetuju dengan Dr Shahrom yang menjelaskan mengenai luka calar siku kiri akibat jatuh ke belakang.

“Ini kerana luka pada lutut kanan menunjukkan mangsa terjatuh ke hadapan dan luka pada siku kiri juga boleh terhasil akibat terjatuh ke hadapan," katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan keterangan Dr Shahrom mengenai tulang rusuk ketiga dan keempat yang dikatakan disebabkan impak langsung serta menghasilkan patah oblik.

“Saya tidak bersetuju kerana saya sendiri yang memeriksa kepatahan itu dan ia memang patah pilin di mana mekanismenya adalah akibat pergerakan tulang rusuk ketiga dan keempat disebabkan impak pada bahagian hadapan rusuk terbabit,” katanya.

Prosiding inkuiri hari ke-32 ditangguhkan dan bersambung Selasa depan.

Sebelum ini, timbul isu apabila Peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pasukan peguam keluarga membantah permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula Dr Ahmad Hafizam.

Pada 23 April, Mahkamah Koroner menolak permohonan Pegawai Pengendali terhadap perkara itu.

Bagaimanapun pada 30 April, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pegawai pengendali sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner.