SPAN arah Air Selangor kerap kemaskini status pemulihan bekalan air

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) lebih kerap mengemaskini status pemulihan bekalan air melalui kenyataan media, laman web dan media sosial.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak Air Selangor untuk berbuat demikian selepas kejadian paip utama pecah di tapak projek pembinaan Lebuh raya West Coast Expressway (WCE) Banting–Taiping.

"Di Bawah Peruntukan Seksyen 54 dan Seksyen 55 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655), operator air mempunyai obligasi untuk mengemas kini laporan kemajuan mengenai gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa melalui kenyataan media, laman web dan media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan air di 53 kawasan kembali pulih

"Oleh yang demikian, Air Selangor perlu mematuhi kehendak akta tersebut dengan memaklumkan kepada para pengguna tentang status kerja-kerja pembaikan yang sedang dijalankan dan status pemulihan ke kawasan-kawasan terlibat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambahnya, pihak SPAN akan terus memantau rapi kerja-kerja pembaikan ke atas paip-paip tersebut bagi memastikan bekalan air akan pulih dengan segera.

Sebelum ini, 65 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah sejak Sabtu lepas.

Masalahan paip pecah itu juga menyebabkan 160,000 akaun atau hampir 800,000 pengguna di kawasan Klang, Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Artikel Berkaitan: