Umno semakin lemah

Takiyuddin (kiri) mengadakan sidang media, selepas Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, di Kompleks Pas Kedah, di sini, petang tadi.
Takiyuddin (kiri) mengadakan sidang media, selepas Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, di Kompleks Pas Kedah, di sini, petang tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas melihat kedudukan Umno sudah lemah susulan 'gerakan' ramai Ahli Parlimen meninggalkan parti itu yang berusia 60 tahun.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kekuatan Umno semakin berkurangan dan hanya tinggal 38 daripada 54 Ahli Parlimen yang memenangi PRU lalu.

"Tidak kiralah mana-mana parti politik pun, kekuatan parti dilihat berdasarkan bilangan Ahli Parlimen. Dalam konteks Umno, arus keluar parti secara peringkat-peringkat, ia menunjukkan kekuatan parti berkenaan semakin berkurangan.

"Kita tidak boleh jangka juga mungkin ada kalangan Ahli Parlimen yang sedia ada juga akan mengikut jejak kawan-kawan mereka untuk keluar dari Umno.

"Sama ada, Ahli Parlimen berkenaan akan menyertai Bersatu, diterima atau tidak terpulang kepada parti tersebut," katanya, selepas sidang media selepas Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, di Kompleks Pas Kedah, di sini, petang hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Pas tidak mahu membuat apa-apa kenyataan mengenai hal ehwal Umno berhubung 'gerakan' keluar parti oleh Ahli Parlimen, selepas PRU lalu.

"Kita (Pas) tidak mahu komen. Lagipun ia melibatkan hal ehwal mereka (Umno). Pas tidak perlu membuat satu pendirian dalam hal ini. Mereka (Umno) tidak menyertai kita (Pas).

"Secara umumnya sudah menjangka perkara berkenaan (keluar parti) akan berlaku. Kita tengok dulu perkembangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai soal kekuatan pembangkang, beliau berkata, Pas hanya mempunyai ikatan yang longgar dengan Umno.

"Ramai atau tidak Ahli Parlimen Umno, pendirian Pas jelas. Pas tidak mempunyai ikatan rapat dengan Umno sebagai pakatan pembangkang.

"Sebagai contoh dalam isu bajet 2018 dan 2019, pendirian Pas berkecuali. Pada hal, Umno pada dasarnya menolak bajet, walaupun kita sama-sama pembangkang. Pas tidak terikat dengan pembangkang yang lain.

"Peranan Pas di Parlimen seperti disebut oleh Presiden Pas, berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan di mana kita akan menegur dan sokong apa yang betul, bukan sahaja kerajaan PH malah itu dipegang ketika kerajaan Umno/BN, dulu," katanya.

Takiyuddin juga menegaskan kekurangan bilangan Ahli Parlimen Umno di Parlimen bukan satu masalah besar kepada Pas.

"Dalam ucapan di Parlimen pun, kadang kala kita (Pas) menyatakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan BN, sebelum ini. Walaupun, Pas bersama dengan BN dalam pakatan pembangkang.

"Kita memang tidak sokong dalam isu 1MDB, Pas menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sekiranya ada perlakukan tidak betul. Sama juga isu berkaitan skandal Tabung Haji (TH), Pas minta ambil tindakan kalau tidak betul, di mana kita cadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan.

"Ini membuktikan, Pas tidak bergantung kepada Ahli Parlimen Umno, dalam Parlimen," katanya.

Semalam, Umno mengesahkan enam ahli parlimennya telah keluar parti berdasarkan surat makluman mengenai perkara itu yang dihantar ke ibu pejabat di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau mengakui menerima satu surat makluman yang ditandatangan oleh kesemua mereka yang terlibat.

Katanya, mereka juga memaklumkan untuk keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Mereka yang mengumumkan keluar parti ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz.