Dua lelaki ditahan jual beli dadah

Dadah yang berjaya dirampas oleh pihak polis.
Dadah yang berjaya dirampas oleh pihak polis.
A
A
A

PORT DICKSON – Polis berjaya menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan aktiviti jual beli dadah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohammed Aidi Sham berkata, kedua-dua individu itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Lukut dan Pasir Panjang.

Katanya, pada Khamis lalu, jam 2 petang, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun menaiki motosikal di sebuah kedai Jalan Perdana Taman Perindustrian Lukut.

“Semasa pemeriksaan dijalankan suspek cuba untuk melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.

“Hasil pemeriksaan beg silang yang dipakai oleh suspek telah menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi bahan ketulan kelabu disyaki dadah jenis heroin dan satu tiub straw dadah jenis syabu, dengan jumlah keseluruhan 43.72 gram,” katanya.

Manakala, tangkapan kedua pula dilakukan semasa Ops Sarang yang diadakan pada jam 1 pagi di sebuah rumah di Kampung Sungai Sekawang Pasir Panjang awal pagi, hari ini.

Katanya, operasi yang dikendalikan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Port Dickson telah mengadakan serbuan di rumah tersebut dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Semasa pemeriksaan badan dijalankan terhadap suspek, kita menjumpai satu beg kecil warna coklat di dalam poket bahagian belakang, yang mengandungi empat peket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 20.8 gram,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan urin, kedua-dua mereka positif dadah dan mempunyai rekod lampau antara lapan dan tujuh kes berkaitan dadah.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.