Ahli Parlimen lompat pembelot Islam, Melayu

 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Umno yang melompat parti bukan sahaja membelot pengundi kawasan mereka malah membelot kepada Islam dan orang Melayu secara keseluruhannya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap 37 Ahli Parlimen yang masih kekal bersama parti tidak membuat keputusan yang akhirnya menguntungkan musuh agama dan bangsa Melayu yang gembira melihat keberantakan Umno.

Menurutnya, beliau percaya tiada apa istemewanya untuk dicari ‘di sebalah sana’ selain mereka hanya bakal diperalatkan untuk memusnahkan Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Nasihat saya kepada rakan yang dah melompat keluar supaya kembali ke pangkal jalan. Masih tidak terlambat untuk anda membetulkan keadaan, kembali menyatukan hati kita demi perjuangan yang telah lama kita bersama.

“Kami sentiasa terbuka untuk bersama selagi ianya sebuah perjuangan untuk rakyat dan agama bangsa.

“Jiwa seorang pemimpin seharusnya cekal dan tidak sewenangnya boleh dibolak-balik dengan janji manis yang belum pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengaitkan situasi tersebut dengan ICERD, Ismail Sabri mendakwa Ahli Parlimen yang melompat itu adalah punca jika PH berjaya dalam usaha meratifikasikan konvensyen itu.

Malah, katanya, bukan sekadar ICERD malah Perkara 153 (kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera) serta Perkara 3 (Islam agama Persekutuan) dalam Perlembagaan Persekutuan juga boleh dipinda.

Artikel Berkaitan:

“Apa kedudukan kita ketika itu? Apakah kita hanya mampu melihat pelbagai bentuk kesamarataan bakal dibangkitkan.Tiada lagi keistimewaan yang dijamin perlembagaan terhadap orang Melayu.

“Tiada lagi kuota untuk Bumiputera dalam apa bentuk bantuan dari kerajaan. Islam bukan lagi agama rasmi kerajaan walau ia menjadi agama majoriti rakyat.

“Apakah yang mampu kita lakukan apabila segala kuasa penuh menggubal dan meminda perkara dalam perlembagaan menjadi milik mereka kaum minoriti,” soalnya.

Jelasnya, beliau bimbang jika masih berlaku Ahli Parlimen melompat parti, ia membolehkan PH mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan memiliki kuasa untuk meminda perkara dan fasal dalam perlembagaan.

“Harus kita ingat kenyataan Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) berkaitan ICERD tidak boleh diratifikasikan ialah kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk membuat pindaan kepada beberapa perkara dalam perlembagaan.

“ICERD senang sahaja diratifikasikan apabila majoriti dua pertiga dimiliki mereka dari Ahli Parlimen Umno yang lompat ini,” ujarnya.