X

Kindly register in order to view this article
!

MPK beri amaran kepada peniaga bazar Ramadan

Datuk Fadzilla Salleh
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memberi amaran kepada peniaga bazar Ramadan di daerah ini untuk memastikan makanan dan minuman yang dijual berada dalam keadaan baik dan bersih.

Yang Dipertua MPK, Datuk Fadzilla Salleh berkata, pemantauan oleh penguat kuasa dilakukan setiap hari di 35 lokasi bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mengikut peraturan ditetapkan.

Menurutnya, walaupun terdapat peniaga yang melakukan kesalahan pada minggu pertama Ramadan, namun pendekatan berhemah diambil dengan memberi nasihat kepada mereka.

"Sebenarnya peniaga memang tahu peraturan yang telah ditetapkan kerana kita telah memberi taklimat kepada mereka dan minggu pertama ini kita menggunakan pendekatan dengan cara membimbing peniaga yang lakukan kesalahan.

"Namun kalau minggu kedua mereka melakukan kesalahan, kita akan mula bertindak dengan mengeluarkan kompaun," katanya kepada media ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fadzilla berkata, kebersihan merupakan faktor paling penting bagi pengendali makanan mengendalikan perniagaan makan dan minum.

Menurutnya, peniaga perlu sentiasa peka dengan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan semua bazar di daerah ini mampu berstatus selamat buat pengunjung.

"Semua peniaga di bazar Ramadan di bawah pemantauan MPK, saya menasihatkan supaya menjaga kebersihan serta kualiti makanan yang dijual.

"Saya sangat bimbang kalau makanan kita tidak selamat boleh mendatangkan sakit kepada pembeli dan kita harap kita dapat mewujudkan makanan yang menjadi kesukaan ramai dan selamat untuk dimakan.

"Ini penting disebabkan bazar Ramadan bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam malah menjadi tumpuan penganut agama lain yang mampu memberi pengertian kepada mereka kelebihan bulan Ramadan," katanya

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang awam yang berbuka puasa di padang MPK 1 berdekatan bazar Ramadan Mahkota Square agar menjaga kebersihan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus