MBI 2 juara Piala FA PBI

Kesebelasan MBI 2 meraikan kemenangan berkenaan.
Kesebelasan MBI 2 meraikan kemenangan berkenaan.
A
A
A

SKUAD Majlis Bandaraya Ipoh (MBI 2) mempamerkan kebangkitan dramatik untuk muncul juara Piala FA Persatuan Bola Sepak Ipoh (PBI) 2019 apabila menewaskan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, 3–1 pada aksi final di Stadium Perak baru-baru ini.

SUK Perak mengejutkan MBI 2 hasil jaringan Badruzzaman Tahir yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10.

Tersentak dengan jaringan berkenaan kesebelasan MBI mula bangkit mengasak ke gawang SUK Perak bagi menyamakan kedudukan.

Minit ke-40 menyaksikan MBI 2 berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Nur Hidayat Hasenan yang berjaya menolak masuk lorongan rakan sepasukan.

Gol berkenaan nyata menyemarakkan semangat kesebelasan MBI 2 untuk terus mengasak ke gawang lawan dan menyaksikan D Muhammad Daniel Azeem menjaringkan gol kedua apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung babak pertama.

MBI 2 bermula garang pada babak kedua dan kali ini giliran Muhammad Saiful Rizal Termize menjaringkan gol ketiga pada minit ke-48.

Ketinggalan 1-3 menyaksikan SUK Perak mula bagi merapatkan jurang gol, namun benteng pertahanan MBI 2 dilihat terus kental bertahan hingga ke wisel penamat.

Kejayaan berkenaan menyaksikan MBI 2 membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan dan piala iringan manakala SUK Perak sekadar berpuas hati membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Artikel Berkaitan:

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Presiden PBI, Datuk Azhar Ahmad.

Mengulas lanjut, pengurus pasukan MBI 2 Mohd Zakuan Zakaria berkata, kejayaan berkenaan sememangnya sesuatu yang di luar jangkaan kerana MBI 2 berdepan dengan skuad yang berpengalaman seperti SUK Perak.

Malah katanya, SUK Perak juga pernah beraksi di pentas final untuk tiga tahun berturut-turut berbanding MBI 2 yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.

“Syukur Alhamdulillah, berkat kerjasama dan usaha keras berpasukan. Pemain berjaya buktikan mereka mampu menewaskan SUK Perak dan muncul johan piala FA kali ini.

“Sekali gus, ia menjadi hadiah paling bermakna kepada pasukan menjelang Ramadan. Kita turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kemenangan ini

“Terima kasih atas kehadiran dan sokongan penyokong MBI, Ahli Majlis, pegawai dan anggota MBI, jurulatih serta pengurusan pasukan bola sepak MBI I dan MBI 2 yang sentiasa berdiri teguh bersama pasukan selama ini,” katanya.