Hormati ayat al-Quran, hadis lambang keimanan seseorang

Hormatilah al-Quran dalam apa jua keadaan sekalipun. -GAMBAR HIASAN.
Hormatilah al-Quran dalam apa jua keadaan sekalipun. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

MENGHORMATI ayat al-Quran dan hadis merupakan sebahagian daripada lambang keimanan seseorang.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, walaupun cebisan ayat-ayat itu terdapat pada akhbar atau surat yang sudah lusuh, ia perlu dihormati.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

"Dikatakan di dalam sejarah bagaimana seorang sufi yang menyucikan nama ALLAH SWT ketika jatuh ke tanah. Lantas, dia telah diubah dalam kehidupannya menjadi manusia yang benar-benar bertakwa kepada ALLAH SWT," katanya dipetik menerusi Irsyad Al-Fatwa ke-12: Melupuskan al-Quran Lama di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut mencadangkan agar cebisan al-Quran dikumpulkan setempat, dibakar dan kemudiannya ditanam.

Jelas beliau, ia berdasarkan tindakan khalifah Islam ketiga, Uthman bin Affan RA ketika menyatukan umat Islam di atas satu mushaf.

"Beliau membakar mushaf-mushaf lain yang menyalahinya. Perbuatan tersebut dilakukan dengan disaksikan oleh para sahabat.

Artikel Berkaitan:

"Ibn Batthal mengatakan, perintah Uthman supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran itu menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama ALLAH SWT boleh dibakar dengan tujuan untuk memuliakannya, menjaganya daripada dipijak oleh kaki manusia dan memeliharanya daripada dibuang di atas tanah," ujar beliau.

USTAZ WAN AKASHAH
USTAZ WAN AKASHAH

Sementara itu, pendakwah, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, seperti mana keadaan kita mahu mengebumikan jasad manusia, begitulah juga perkara yang perlu dilakukan ketika ingin 'mengebumikan' kitab suci umat Islam iaitu al-Quran.

Katanya, Islam amat menitikberatkan akhlak dan tingkah laku yang sopan serta baik.

"Bukan setakat kita jaga adab al-Quran yang memang merupakan wahyu ALLAH ataupun mukjizat yang besar kepada Nabi Muhammad SAW. Malah, sehinggakan haiwan sekalipun, kita disuruh tanam jika ia mati," katanya kepada Sinar Islam.

Jelas Ustaz Wan Akashah, Islam menggariskan beberapa adab dalam pelupusan al-Quran iaitu pertama, perlu menghilangkan terlebih dahulu tulisan ayat-ayat kitab suci sama ada dengan cara dibakar atau menggunakan mesin.

"Kedua, selepas dibakar, alirkan (abu al-Quran tadi) di laut atau sungai. Yang penting, air itu biarlah yang mengalir dan tak boleh dilakukan tempat-tempat yang kotor seperti longkang.

"Lebih cantik lagi, kalau orang yang menguruskan (proses pelupusan al-Quran) itu ada air wuduk.

"Kalau boleh, elakkan daripada wanita-wanita yang datang bulan. Biar orang lelaki atau wanita yang 'bersih' sahaja yang mengendalikannya," ujarnya.

Apabila semua perkara itu dijaga dengan baik, kata beliau, insya-ALLAH umat Islam akan mendapat keberkatan dan syafaat daripada al-Quran itu sendiri.