Bila umat Islam bagaikan buih

A
A
A

ISYARAT Rasulullah SAW kira-kira 1,400 tahun dahulu nampaknya menjadi kenyataan. Petanda itu sepatutnya diambil peduli oleh umat Islam. Sayangnya ia tidak diendahkan.

Sehingga kini, realiti umat benar-benar tepat seperti yang diungkap Rasulullah SAW. Umat Islam sepatutnya bersiap menghadapi zaman yang getir itu kerana Rasulullah SAW berkata-kata bukan atas dorongan nafsu. Tanda-tanda akhir zaman dikatakan semakin jelas.

Kini dunia Islam berada dalam kemelut sangat berat. Hampir tidak ada kepimpinan negara Islam yang menunjukkan kewibawaan. Sama ada mereka lemah atau menjadi diktator atau menjadi boneka kepada kuasa luar.

Sejak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) diasaskan pada tahun 1969, hasrat mengangkat martabat umat nampaknya gagal. Daripada semangat Islam yang asalnya menjadi dorongan OIC ditubuhkan, kini umat Islam dikuasai oleh dominasi nasionalisme Arab, sehingga pertempuran antara negara-negara Arab melumpuhkan kesatuan ummah.

Sejak peristiwa serangan 11 September 2001, imperialis barat melancarkan agenda meganya, setelah sosialisme USSR ditamatkan, tumpuan selanjutnya ialah Islam.

Kata-kata Presiden Bush, “sama ada kamu bersama kami atau kamu menentang kami," adalah rumusan agenda barat ke atas negara-negara Islam.

Tidak keterlaluan untuk merumuskan, sejak itu dunia sekarang beralih daripada perang dingin kapitalisme barat dengan sosialisme timur, kepada pertembungan antara Islam dan anti-Islam. Dalam pertembungan itu, kepentingan yang paling utama bagi kuasa barat adalah memperkukuhkan kedudukan Israel.

Tidak dipedulikan jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Israel. Betapa jutaan warga Palestin sengsara di Gaza dan Tebing Barat, diusir, dirampas harta benda, ditahan dan diseksa, dibunuh oleh tentera Zionis Israel. Israel yang sudah diisytiharkan sebagai negara aparteid oleh PBB tidak diendahkan oleh barat.

Artikel Berkaitan:

Kuasa imperialis barat dan Zionis anti-Islam mencatur negara-negara Islam dalam semua medan. Politik, perdagangan dan ekonomi, keselamatan dan pertahanan, sosial dan budaya serta pendidikan dan pembangunan.

Strategi yang jelas berkesan ialah pecah dan lagakan. Dalam semua medan yang menjadi per-caturan itu, negara Islam dilemahkan, dikawal, diporak-perandakan serta akhirnya dihancurkan.

Kini satu demi satu negara Islam diporak-perandakan. Kuasa imperialis tahu benar bahawa jika strategi pecah dan perintah boleh melemahkan, pecah dan melagakan pula boleh menghancurkan negara-negara Islam.

Kini Arab Saudi yang berpopulasi 33 juta sedang menjadi sasaran Zionis Yahudi dan Amerika Syarikat (AS) untuk diguna bagi memenuhi agenda memecahbelahkan negara-negara Islam di Asia Barat. Presiden Donald Trump telah melancarkan Pakatan Abad Kini (Deal of the Century).

Pakatan ini menjadikan Arab Saudi sebagai alat untuk menguasai seluruh Asia Barat sekali gus menjadikan Israel sebagai paksi kepada kuasa Zionis dunia terkuat. Tidak kurang AS$ 350 bilion telah disalurkan dari Arab Saudi ke AS dalam pembelian senjata terbesar dunia.

Yemen pula menjadi mangsa kepada hegemoni AS, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. Serangan ke atas Yemen sangat parah sehingga menukar negara itu menghadapi krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Akibat perang terhadap kaum Hauti, Yemen berdepan dengan wabak kolera paling tinggi di dunia. Lebih 50,000 maut dalam tempoh tiga tahun. Kebuluran meningkat ke paras yang menakutkan.

Kini ia menjadi medan pertempuran proksi melibatkan tentera AS, Eropah, Rusia dan Iran. Hampir empat juta rakyatnya menjadi pelarian di dalam dan di luar Syria.

Benar kata Rasulullah SAW, bilangan umat yang banyak kini sudah tercabut kekuatannya dan tidak ada lagi rasa gerun pihak lain terhadap umat Islam yang berjumlah 1.8 bilion itu.Dalam semua medan yang menjadi percaturan itu, negara Islam dilemahkan, dikawal, diporak-perandakan dan dihancurkan."