Tiang seri pentadbiran kerajaan Johor

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang telah dicetak atas inisiatif Datuk Tengku Putra Haron Aminurashid Abdul Hamid Jumat. Gambar kecil: Shamrahayu
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang telah dicetak atas inisiatif Datuk Tengku Putra Haron Aminurashid Abdul Hamid Jumat. Gambar kecil: Shamrahayu
A
A
A

SEJAK akhir-akhir ini, sering disebut tentang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Namun, tak ramai yang mengetahuinya dengan jelas butirannya susulan tidak ramai yang tampil memberikan penerangan terperinci mengenainya.

Justeru, Sinar Harian menerusi wartawannya mendapatkan serba sedikit maklumat tentang perlembagaan bertulis berkenaan.

Ia diharapkan dapat memberi pencerahan dan minat kepada masyarakat untuk mengenali dan memahaminya kandungannya khususnya Bangsa Johor.

Menjadi tanggungjawab rakyat negeri itu mempelajarinya dan mengambil berat mengenai kandungannya yang telah dimasyhurkan sejak 124 tahun lalu.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 merupakan salah satu teras kepada undang-undang negeri Johor, sekali gus menjadi perlembagaan asas kepada negeri berkenaan.

Ia dimasyhurkan pada tahun 1895 dan menjadi perlembagaan bertulis pertama di Tanah Melayu.

Mengikut catatan, ia digubal di Istana Besar Johor Bahru pada bulan April 1895 ketika pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar.

Selepas lima bulan digubal, barulah ia diwartakan secara rasmi pada September 1895.

Artikel Berkaitan:

Terdapat tiga Bahagian yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 iaitu Bahagian Pertama dengan 64 Fasal; Bahagian Kedua (41 Fasal) dan Bahagian Ketiga (10 Fasal).

Menurut Pakar Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Johor merupakan negeri pertama di Tanah Melayu yang memiliki perlembagaan bertulis.

Shamrahayu berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 menceritakan tentang kedudukan raja, waris raja dan bagaimana sistem pentadbiran dilakukan ketika waktu itu.

Katanya, perlembagaan bertulis tersebut menyatakan raja sebagai kemuncak keadilan yang mana baginda menjalankan pentadbiran melalui dua cara iaitu keadilan dan musyawarah.

"Apabila raja mahu memerintah negeri itu, apa yang menjadi puncaknya ialah keadilan.

"Keduanya, pelaksanaannya itu dilakukan melalui musyawarah bersama orang-orang besar negeri tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 juga menunjukkan negeri itu sebagai sebuah wilayah yang merdeka.

"Negeri yang merdeka itu mempunyai sistem perundangan tersendiri, maka Johor sudah memilikinya pada 1895.

"Jadi, Johor adalah negeri yang merdeka kerana ia mempunyai raja, persempadanan negeri dan sistem undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, Shamrahayu berkata, secara evolusinya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 kekal sehingga ke hari ini dan sah serta diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menelusuri sejarah perkembangannya, Shamrahayu berkata, Perlembagaan Johor kemudiannya telah diambil menjadi Itqan Al-Muluk Bi Ta'dil As-Suluk iaitu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu.

"Maknanya versi Johor 1895 dan versi Perlembagaan Negeri Terengganu atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu 1911 adalah sama.

"Jadi Johor dan Terengganu ini dikatakan dua negeri yang mempunyai perlembagaan sebelum hari kemerdekaan yang kita isytiharkan pada 1957," katanya.

Perkembangan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah melalui beberapa perkembangan.

"Pada tahun 1948, ia telah ditambah dengan kandungan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

"Pada tahun 1959 pula, terdapat tambahan dari Jadual Ke-8 Perlembagaan Persekutuan dan telah membatalkan tambahan 1948 itu tetapi mengekalkan UUTKJ 1895," katanya.

Katanya, undang-undang berkenaan kini mempunyai tiga bahagian dengan beberapa pindaan yang mengandungi peruntukan-peruntukan berbeza.

Jelasnya, Bahagian Pertama merupakan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang melalui beberapa pindaan di mana ia lebih kepada kedudukan institusi beraja di negeri tersebut.

"Bahagian Kedua pula mengandungi peruntukan berkaitan pentadbiran negeri yang diadaptasi daripada peruntukan dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

"Manakala Bahagian III pula meletakkan beberapa peruntukan sahaja. Menarik juga untuk dilihat pada Perkara 8 yang mana ia menyebut tentang kuasa prerogatif sultan," katanya.

Justeru, beliau berpendapat seluruh Bangsa Johor dan negeri lain wajar memahami undang-undang tubuh negeri masing-masing.

"Saya fikir sebagai sebuah negara Persekutuan, penting untuk seluruh warga memahami sistem federalisme yang menjamin kedudukan negeri melalui jaminan Perlembagaan Persekutuan. "Undang-undang tubuh bagi negeri-negeri perlu difahami sewajarnya agar kita mengenali asal usul Persekutuan," katanya.