'Trauma ditahan 10 bulan di penjara Indonesia masih ada'

Kepulangan Mahabob disambut dengan penuh kesedihan sebaik tiba di Jeti Nelayan Pontian Besar pada 8 Mei tahun lalu.
Kepulangan Mahabob disambut dengan penuh kesedihan sebaik tiba di Jeti Nelayan Pontian Besar pada 8 Mei tahun lalu.
A
A
A

PONTIAN - Tarikh 8 Mei lalu genap setahun nelayan Mahabob Hasimat, 57, pulang ke tanah air selepas ditahan selama 10 bulan di Penjara Tanjung Pinang, Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu.

Kepulangan Mahabob pada petang sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU14) disambut dengan air mata kegembiraan oleh isteri, Besah Abu Bakar, 57, dan enam orang anaknya di Jeti Nelayan Pontian Besar.

Selepas setahun, kehidupan Mahabob tidak banyak berubah di mana dia masih turun ke laut namun tidak sekerap dahulu.

Anak sulung beliau, Nasaruddin, 35, berkata, pengalaman dipenjarakan masih tidak dapat dilupakan bapanya.

“Saya tahu ayah masih trauma, memang sukar nak lupa pengalaman ditahan penguatkuasa asing dan kemudiannya ditahan di penjara,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik mengakui tidak mungkin melupakan tarikh terakhir sebelum ayahnya turun ke laut dan ditahan pada 9 Julai tahun lalu melalui Jeti Pengkalan Nelayan Lapis Sayang Benut, Pontian.

Ketika ditahan, Mahabob bersama dua lagi nelayan yang bertindak sebagai awak-awak bot dikenali sebagai Rosly dan Kennny yang berasal dari Sabah.

Bagaimanapun, Rosly dan Kenny telah dibebaskan dan pulang ke Malaysia pada 20 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Mahabob bersama isterinya Besah menyambut Aidilfitri bersama pada tahun lepas.
Mahabob bersama isterinya Besah menyambut Aidilfitri bersama pada tahun lepas.

“Hampir 10 bulan ayah ditahan di penjara Tanjung Pinang. Kami keluarga di sini cukup terseksa mengenangkan nasibnya di dalam penjara itu dengan usia yang sudah lanjut.

“Ayah asyik cakap hendak pulang, itu yang buatkan saya tidak dapat lena tidur, terbayangkan ayah setiap masa,” katanya.

Nasarudin berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi membebaskan ayahnya itu termasuk bertemu sendiri dengan beberapa pegawai kementerian terlibat dan pemimpin atasan.

“Memang penat asyik ke Putrajaya. Tetapi saya tak kisah asalkan ada pihak yang bantu bebaskan ayah. Selain itu pihak media turut bantu menyiarkan kisah kami sekeluarga.

“Alhamdulillah usaha yang saya lakukan itu ada perkembangan positif apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika itu datang ke rumah pada Januari tahun lepas,” katanya.

Harap tiada lagi nelayan ditahan

Jelasnya, pengalaman ditempuh sepanjang usaha membebaskan ayahnya cukup memeritkan.

“Selepas ayah dibebaskan, belum ada lagi nelayan tempatan yang ditahan penguatkuasa Indonesia mahupun Singapura kerana lepas sempadan.

“Saya harap jangan ada lagi nelayan ditahan. Memang kalau boleh saya tidak mahu ayah ke laut, tetapi ayah sudah biasa ke laut sejak dari muda, mana mungkin dia boleh lupakan laut,” katanya.

Menurutnya, ayahnya itu cuma turun sesekali ke laut itu pun jika ada rakan yang meminta bantuan untuk menangkap ikan di laut dalam.

Mahabob dibebaskan dari penjara di Tanjung Pinang pada Mei tahun lepas.
Mahabob dibebaskan dari penjara di Tanjung Pinang pada Mei tahun lepas.

Nelayan perlu sentiasa beri maklumat lokasi

Sementara itu, Bekas Pengerusi Persatuan Komuniti Pengurusan Generasi /Pengkalan Ayer Baloi, Salahudin Jantan berkata, beliau tidak mahu kejadian nelayan ditahan pihak berkuasa Indonesia berulang.

Beliau mahu langkah berjaga-jaga dan pengawasan diperketatkan.

“Kita perlu faham, bot pukat tunda perlu berada di kawasan lima batu nautika dari pantai. Jadi mereka perlu berada di kawasan selepas Pulau Pisang.

“Masalah timbul pula di sini apabila kawasan selepas Pulau Pisang itu terlalu dekat dengan sempadan perairan Indonesia.

“Semua bot pukat tunda mempunyai alat nagivasi GPS, sudah pasti mereka lebih tahu tentang sempadan perairan. Tetapi tiada garisan sempadan yang betul-betul tepat untuk digunapakai nelayan kerana isu persempadan perairan masih jadi pertindihan kedua-dua negara,” katanya.

Katanya, penggunaan GPS perlu ditekankan kepada nelayan dengan maklumat secukupnya diberikan kepada mereka untuk mahir menggunakan peralatan tersebut.

“Mungkin Jabatan Perikanan boleh adakan kursus kepada nelayan untuk mereka tahu gunakan GPS,” katanya.

Salahudin mencadangkan agar nelayan sentiasa memberi maklumat mengenai lokasi mereka kepada pihak berkuasa seperti Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( APMM).

“Nelayan yang berada selepas kawasan Pulau Pisang perlu maklumkan segera kedudukan mereka. Sekiranya mereka terlihat ada kapal tentera asing segera laporkan kepada pihak berkuasa.

“Setiap bot nelayan juga dilengkapi dengan walkie talkie. Jadi tiada alasan untuk mereka tidak berhubung untuk beritahu tentang lokasi mereka,” katanya.

Salahudin berkata, setiap negara mempunyai peraturan bagi menjaga kedaulatan negara termasuk dalam soal persempadan perairan.

Katanya, daerah Pontian cukup unik kerana mempunyai perairan yang bersempadan dengan Indonesia dan Singapura.

Justeru, nelayan yang mencari rezeki di laut sepatutnya tidak ditangkap sebaliknya perlu diberikan peringatan terlebih dahulu.

“Penguatkuasa kedua-dua negara perlu ikhlas, mereka boleh beritahu secara baik kepada nelayan untuk kembali sempadan negara.

“Saya lihat hubungan baik antara kepimpinan tertinggi kedua-dua negara ini mampu memperkukuhkan hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia yang berkongsi perairan.

Justeru, beliau berharap agar perbincangan bagi isu perairan kedua-dua negara ini dapat dilakukan selepas ini.