PH perlu bergerak sebagai satu pasukan, kata penganalisis

Penganalisis Politik USM, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian menyampaikan hujah pada Wacana Sinar Siri Ke-108 yang bertajuk Penilaian Setahun PH Berkuasa, semalam. - Foto Sinar Harian oleh Rosli Talib
Penganalisis Politik USM, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian menyampaikan hujah pada Wacana Sinar Siri Ke-108 yang bertajuk Penilaian Setahun PH Berkuasa, semalam. - Foto Sinar Harian oleh Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bergerak sebagai satu pasukan mewakili sebuah kerajaan bagi membolehkan mereka mengukir wajah baru dalam pentadbiran selepas ini.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki pasukan yang mantap dan ampuh justeru perlu saling bergantung antara satu sama lain.

“Setiap kementerian itu menunjukkan bahawa mereka sebagai satu pasukan mereka bergerak bukan mewakili PKR, DAP atau Amanah tetapi mewakili sebuah kerajaan yang telah dipilih rakyat.

“Dalam konteks ini saya rasakan dengan pelbagai latar pengalaman sepanjang setahun ini, sepatutnya (kerajaan PH) boleh mengukir wajah baru,” katanya pada Wacana Sinar Ke-108 bertajuk ‘Penilaian Setahun PH Berkuasa’ di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, barisan Kabinet yang ada kini seharusnya melihat nadi denyutan rakyat terutama dari segi keperluan dan kemahuan berbanding melihat isu remeh.

“Dr Mahathir telah menyatakan bahawa jika dirombak (Kabinet) yang baharu maka yang baharu perlu melalui proses seperti yang ada.

“Jadi lebih baik yang ada sekarang, harus melihat nadi denyutan rakyat, lihat 'mind set' mereka, keperluan, kemahuan, tidak melihat pada isu yang remeh.

“Kenapakah lebih utamakan yang kurang bekepentingan seperti isu minyak sawit, isu kereta terbang dan isu kasut? Sedangkan sepanjang isu ini, ada isu dasar yang telah dibawa oleh pemimpin tersebut tetapi tidak diterokai sepenuhnya kerana gagalnya komunikasi dengan pihak-pihak berwajib,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sepanjang satu tahun pentadbiran kerajaan PH, soal integriti, rasuah, korupsi, penstrukturan tadbir urus kerajaan telah dilakukan, maka untuk tahun kedua pentadbirannya pergi pula kepada merakyatkan kepimpinan.

“Merakyatkan kepimpinan ini tidak bermakna hanya seorang pemimpin yang mewakili keseluruhan rakyat tetapi keseluruhan pasukan itu dengan kenyataan rasional, praktikal, tidak bersifat emosional, tidak bersifat provokasi, atau melahirkan propaganda palsu kerana itu akan merugikan rakyat.

“Dalam masa sama kita memerlukan pembangkang yang kuat. Pembangkang dapat mainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan dan pasukan yang ada,” jelasnya.

Justeru harapannya kepada kerajaan hari ini, tahun kedua pentadbiran mereka, tidak wujud lagi pertikaman dalaman dalam konflik kepimpinan.

“Yang perlu dilihat bahawa sudah tiba masanya bagi kerajaan tahun kedua adalah kematangan untuk mentadbir urus dengan baik,” katanya.