Pemuda Umno bagi markah 1.5 per 10 kepada Pakatan Harapan

Asyraf dan Mat Nadzari beramah mesra dengan pengunjung bazar ketika mengagihkan sumbangan kurma
A
A

BATANG KALI - Pemuda UMNO memberi markah sebanyak 1.5 per 10 kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sempena genap setahun mentadbir negara hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah markah itu berdasarkan sedikit sebanyak pembaharuan yang kerajaan PH lakukan.

"Banyak perkara yang perlu diberi perhatian kerajaan untuk memastikan rakyat terbela. Mantra yang selalu diungkapkan kerajaan Pakatan Harapan ketika mereka berkempen, nak berpaksikan kerja mereka kepada dasar dan polisi rakyat.

"Tapi setakat hari ini rakyat masih lagi berada dalam keadaan yang cukup sengsara, kos sara hidup makin meningkat, harga barang makin naik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan kurma bersama Pemuda Umno Bahagian Hulu Selangor di Bazar Ramadan Bandar Utama Batang Kali di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Menurutnya, harga jualan di bazar Ramadan pula semakin meningkat kerana peniaga memperoleh barang mentah pada harga yang tinggi.

"Saya sempat bertanya khabar dengan peniaga-peniaga, suasana tidak seperti tahun sebelum ini sebab itu saya mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan fokuskan isu dan agenda untuk rakyat, mengembalikan kuasa beli dan pendapatan ditingkatkan," katanya.

Asyraf berkata, kuasa beli rakyat harus ditingkatkan namun ia bergantung kepada polisi kerajaan yang memacu pertumbuhan ekonomi.

"Kalau dulu mereka menjanjikan gaji minimum RM1,500 tapi sampai sekarang mereka tak menunaikan lagi janji. Maka saya rasa perkara ini perlu Pakatan Harapan fokuskan daripada berterusan menyalahkan kerajaan yang lepas.

"Selepas setahun ini cukuplah dengan mentaliti pembangkang kerana mereka sekarang sudah menjadi kerajaan, mereka harus maju ke hadapan dan fokus kepada misi dan dasar yang mesra rakyat," katanya.

#huluselangor #batangkali Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi markah sebanyak 1.5/10 kepada kerajaan Pakatan Harapan sempena genap setahun mentadbir negara hari ini. Beliau berkata demikian selepas mengagihkan sumbangan kurma bersama Pemuda Umno Bahagian Hulu Selangor di Bazar Ramadan Bandar Utama Batang Kali, petang tadi. Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor MOHD RIDZUAN ABU HASSAN

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Thursday, May 9, 2019


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia