Kerajaan PH berjaya capai 39.01 peratus janji dalam tempoh setahun

Dr Mahathir. FOTO:ZAHID IZZANI
Dr Mahathir. FOTO:ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Prestasi pencapaian janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April 2019 dalam membina negara dan memenuhi harapan adalah sebanyak 39.01 peratus.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, prestasi ini diukur melalui status kemajuan 464 Inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji.

“Sebanyak 53 dari 128 inisiatif atau 11.42 peratus telah ditunaikan. Manakala 283 inisiatif atau 60.99 peratus berada di peringkat dalam perancangan.

“Prestasi ini menunjukkan peningkatan 29.34 berbanding 9.67 peratus pada 31 Disember 2018,” katanya pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, dari sudut reformasi undang-undang pula, ada diantaranya telah dilaksanakan dan selebihnya masih dalam perlaksanaan.

“Semua undang-undang yang zalim dan menekan rakyat sudah dibatal atau dihenti penguatkuasaannya. Bagaimanapun pelaksanaan hukum bunuh dihentikan sementara meneliti pendapat rakyat yang tidak semuanya bersetuju hukum ini dihapuskan.

“Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu telah digantung sementara menunggu penghapusan. Media diberi kebebasan sepenuhnya tanpa perlu menunggu arahan atau pesanan dari pemimpin-pemimpin atau orang suruhan mereka di Putrajaya seperti sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir. FOTO:ZAHID IZZANI
Dr Mahathir. FOTO:ZAHID IZZANI

Katanya, pencapaian ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membina negara dan memenuhi harapan rakyat.

“Inisiatif spesifik telah dilaksanakan untuk kesejahteraan warga Felda dan masyarakat India di mana usaha ini sedang dipergiatkan. Begitu juga inisiatif untuk kaum wanita turut dipertingkatkan.

“Inisiatif untuk memberi peluang untuk anak-anak muda memain peranan penting di dalam pembuatan dasar turut ditekankan. Pada masa sama, kita yakin akan dapat membangunkan 100,000 rumah mampu milik bagi 2019.

“Kita ada empat tahun lagi untuk memastikan semua janji-janji tersebut dapat dilaksanakan dan kita yakin kesemuanya akan tercapai sebelum mandat pemerintahan kita berakhir,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berkata, kerajaan sedar bahawa ramai di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan menuduh PH telah gagal memenuhi beberapa janji-janji yang terdapat di dalam manifesto.

“Telah saya terangkan sebelum ini bahawa apabila kita mengambil-alih kerajaan, kita dapati kerosakan yang berlaku begitu besar sehingga kita tiada berkeupayaan untuk memenuhi janji-janji itu seberapa segera yang mungkin.

“Umpamanya untuk hapus tol Plus sahaja, RM30 bilion diperlukan dan beberapa bilion lagi untuk memperbaiki jalan setiap tahun, sedangkan kerajaan terpaksa bayar hutang berbilion Ringgit setahun untuk puluhan tahun.

“Walaupun terdapat sedikit kelewatan tetapi kita telah terus berusaha untuk memenuhi janji-janji kita seperti yang terkandung di dalam Buku Harapan – Membina Negara Memenuhi Harapan,” katanya.