Sokongan penjawat awam perkuat kerajaan, memakmurkan negara

Dr Maszlee Malik
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata sokongan daripada penjawat awam kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin bertambah kukuh, membina kekuatan untuk memakmurkan Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada penjawat awam di kementeriannya terhadap komitmen yang diberikan dalam sembilan teras pencapaian utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta menjayakan reformasi pendidikan yang digerakkan sehingga kini.

“Sebagai sebuah gabungan kali pertama menjadi kerajaan terdapat pelbagai halangan yang perlu ditempuhi tetapi dengan sokongan kuat daripada penjawat awam pentadbiran yang ada, kian melihatkan kekuatan untuk terus memakmurkan Malaysia.

“Kementerian ini menganggap penjawat awam sebagai tunjang utama reformasi pendidikan negara dan berharap Malaysia akan terus maju dengan perkhidmatan awam berkualiti tinggi," katanya.

Selain itu, katanya, KPM juga amat bertuah kerana memiliki ramai penjawat awam daripada pelbagai skim perkhidmatan termasuk guru, pensyarah, pegawai tadbir dan diplomatik, pegawai kewangan serta kumpulan pelaksana yang berbakat, berilmu dan mempunyai budaya kerja cemerlang.

Dr. Maszlee turut merakamkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa, komuniti dan pihak swasta yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap setiap usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia