Kerajaan PH gagal dalam tempoh setahun: Shamsul Anuar

Shamsul Anuar Nasarah. FOTO: ROSLI TALIB
Shamsul Anuar Nasarah. FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan PH dilihat gagal dalam tempoh setahun pentadbirannya apabila banyak janji sebelum PRU14 tidak ditunaikan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan PH juga tidak mampu mengemukakan polisi dan dasar baharu dalam tempoh tersebut.

"Dari segi janji banyak yang tidak tercapai dalam setahun. Walaupun ada yang kata setahun adalah tempoh singkat untuk buat penilaian, tetapi sebagai kerajaan yang mengambil alih sepatutnya mampu mengemukakan polisi dan dasar dengan cepat.

"Malah, mereka perlu menunaikan apa yang dijanjikan sebelum PRU14. Tetapi apabila ia tidak berlaku, maka ia dilihat satu kegagalan sebagai kerajaan," katanya pada Wacana Sinar Harian ke-108 berjudul 'Penilaian Setahun PH Berkuasa' di sini hari ini.

Selain Shamsul Anuar, turut hadir sebagai ahli panel ialah Ketua Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii dan penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Manakala, Sayed Munawwar Sayed Mohd Mustar bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah meletakkan markah rendah kepada prestasi menteri-menteri Kabinet.

"Jika Perdana Menteri sendiri tidak boleh meletakkan markah lebih tinggi kepada pimpinan kerajaan, maka di situ kita boleh nampak tahap beliau berpuas hati atau tidak. Selain itu, kita juga boleh lihat reaksi rakyat yang tidak berpuas hati di media sosial begitu ketara.

Artikel Berkaitan:

"Reaksi rakyat ini bukan diatur tetapi organik kerana mereka sudah bijak membuat penilaian. Sebagai permulaan dalam tempoh setahun ini kerajaan nampak gagal," katanya.

Katanya, kerajaan BN telah meninggalkan negara ini dalam keadaan cukup baik dan kerajaan baharu hanya perlu meneruskan dasar terdahulu yang bermanfaat kepada rakyat.

"Sebagai bekas pemimpin kerajaan, saya tidak berkecil hati jika kerajaan baharu meneruskan polisi dan dasar kerajaan terdahulu. Cuma, ia mestilah lebih baik daripada sebelum ini bukan sekadar tukar kulit," katanya.

Malah, menurut beliau, banyak perkara boleh dilaksanakan kerajaan baharu tanpa perlu mengambil masa lama.

"Contohnya, janji untuk melakukan perubahan institusi dan agensi. Pelantikan Peguam Negara misalnya dikatakan mahu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan, tetapi ia tidak berlaku dan menunjukkan janji itu hanya wayang dan retorik," katanya.