Teruja pengalaman pertama ke Istanbul

A
A
A

LAWATAN musim sejuk di Istanbul, Turki baru-baru ini memberi pengalaman yang mengujakan kepada Nor Rizan Abdul Rani, 52 bersama rakan-rakan sekolahnya.

Nor Rizan (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya sempat bergambar di kawasan stesen keretapi di sekitar Istanbul.
Nor Rizan (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya sempat bergambar di kawasan stesen keretapi di sekitar Istanbul.

Beliau yang tinggal di Taman Meru, Ipoh, Perak bersama bekas rakan-rakannya, alumni Sekolah Menengah Convent, Batu Gajah, Perak sesi tingkatan lima tahun 1985, Suzana Ahmad (ketua rombongan), Faziah Alias, Nor Baya Bidin, Halinda Samsudin, Safazalina Anida Ishak dan Rozana Abdul Rahim melancong ke Istanbul dan Bursa, Turki selama lapan hari.

Tujuan lawatan itu diadakan adalah untuk merapatkan semula hubungan mereka yang terputus selepas persekolahan di samping bercuti sambil berehat di musim sejuk di rantau orang.

“Saya amat teruja apabila mempunyai pengalaman pertama kali dapat menjejakkan kaki di situ.

“Kenangan manis bersama rakan-rakan sekolah ini tidak mungkin dapat saya lupakan sepanjang hayat," katanya ketika ditemui di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Tempat menarik

Nor Rizan berkata, antara tempat menarik yang dikunjungi ialah Aya Sofia iaitu kawasan gereja zaman kerajaan Constantinopal ditukar menjadi masjid di zaman Othmaniah tetapi kemudiannya menjadi gereja semula apabila kerajaan berkenaan dijatuhkan.

Artikel Berkaitan:

Tempat lain yang turut dilawati mereka ialah Blue Mosque, Topkapi Palace dan muzium tempat tinggalan sejarah kerajaan Othamaniah.

Pameran tinggalan nabi-nabi dan sahabat Rasulullah SAW termasuk pedang serta helaian janggut Nabi Muhammad SAW turut dikunjungi.

Selain itu mereka sempat berkunjung ke Grand Bazaar dan Spice Bazaar yang terbesar dan tertua di dunia dan kawasan bunga tulip di Gulhane Park di samping melawat bandar Bosphorus Cruise.

Di Bursa mereka sempat singgah menaiki kereta kabel terpanjang di dunia menuju ke kawasan salji di Mount Uludaq dan seterusnya ke Green Mosque.

Menurutnya, kesan sejarah, bentuk muka buminya yang cantik, binaan bangunan lamanya yang masih kekal dan indah di samping mempunyai tempat membeli-belah barangan istimewa menjadikan ia sebagai daya tarikan besar kepada pelancong datang ke negara berkenaan.

“Kawasan yang dikunjungi berada di kawasan berdekatan memudahkan perjalanan dengan hanya berjalan kaki atau menaiki keretapi disediakan," katanya.

Belanja RM4,000

Rombongannya yang tinggal di Hotel Comfort, Istanbul membelanjakan wang sebanyak RM4,400 bagi menyertai pakej pelancongan itu termasuk bayaran tiket kapal terbang, pengangkutan, menaiki kereta kabel ke kawasan salji, makan malam dan persembahan atas kapal di samping mengelilingi Bandar sekitar Istanbul dengan menaiki bas hip hop.

Peserta rombongan menaiki bas hip hop mengelilingi sekitar bandar.
Peserta rombongan menaiki bas hip hop mengelilingi sekitar bandar.

Nor Rizan berkata, melalui lawatan itu dia dapat menyaksikan suasana kehidupan masyarakat Eropah Islam yang mempunyai pelbagai jenis makanan dan budaya yang luar biasa.

Bagaimanapun katanya, loghat bahasa Inggeris penduduknya sukar difahami berbanding negara lain.

Beliau berkata, antara makanan yang sedap dan istimewa diperoleh di sana ialah kebab, jus buah-buahan dan kuih manisan.

Menurutnya, harga barangan yang dijual agak murah setanding dengan negara sendiri.

“Suhunya yang mencecah 11 hingga 13 darjah Celsius di puncak Mount Uludag yang diseliputi salji melahirkan rasa dan suasana lebih nyaman. Ia memberikan rasa keselesaan dan keseronokan berada di negara orang yang tidak mudah dilupakan sehingga akhir hayat.

“Saya bercita-cita datang semula bersama ahli keluarga ke tempat ini suatu masa nanti," katanya mengakhiri perbualan.

Peserta rombongan menikmati makan tengahari di restoran di Istanbul.
Peserta rombongan menikmati makan tengahari di restoran di Istanbul.