Kekalkan Menara Darul Iman: Ahmad Said

Menara Darul Iman yang kini dalam proses pembinaan sebelum ini mengikut perancangan asal adalah Menara Bandaraya Kuala Terengganu. - Facebook Ahmad Said
Menara Darul Iman yang kini dalam proses pembinaan sebelum ini mengikut perancangan asal adalah Menara Bandaraya Kuala Terengganu. - Facebook Ahmad Said
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kompleks Menara Darul Iman perlu dikekalkan sebagai bangunan Menara Bandaraya Kuala Terengganu bagi meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, perancangan asal pembinaan Menara Darul Iman sebelum ini bagi menempatkan pusat pentadbiran Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) baharu yang dijangka menjadi mercu tanda baharu selaras dengan tema Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

“MBKT adalah PBT bagi dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di mana pembinaan lokasi pusat pentadbiran dua daerah ini telah disambung dan disatukan oleh jambatan angkat (drawbridge) Kuala Terengganu.

“Sehingga kini, pusat pentadbiran Bandaraya Kuala Terengganu berkongsi bangunan dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Kuala Terengganu (PMINT).

“Jadi, pengekalan penggunaan bangunan Menara Bandaraya Kuala Terengganu sebagaimana perancangan asal dijangka akan dapat meningkatkan lagi imej MBKT,” katanya menerusi satu kenyataan di laman sosialnya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya insiden bangunan runtuh yang pernah berlaku di negeri ini perlu dijadikan iktibar supaya tidak berlaku perubahan spontan kepada pelan asal sesuatu bangunan.

Ahmad merujuk mengenai pertukaran Menara Darul Iman yang dikatakan akan bertukar menjadi pusat pentadbiran negeri yang baru menggantikan Wisma Darul Iman.

“Tahun lalu saya dengar desas-desus Menara Bandar raya (Menara Darul Iman) ini akan bertukar menjadi pusat pentadbiran negeri yang baru menggantikan Wisma Darul Iman.

Artikel Berkaitan:

“Perubahan kepada perancangan asal sesuatu bangunan tidak boleh dilaksanakan secara spontan terutama jika melibatkan perubahan struktur. Pengalaman bangunan runtuh suatu masa dulu perlu dijadikan pedoman,” katanya.

Katanya, selain aspek keselamatan, kerja-kerja melibatkan pertukaran itu juga akan menelan kos yang tinggi.

“Jika perancangan pertukaran guna bangunan ini berlaku, banyak kos tambahan akan dilakukan seperti menukar reka bentuk dan saiz bilik Datuk Bandar jadi bilik MB, bilik pegawai jadi bilik Exco. Saya terfikir, lebih parah lagi jika Dewan Undangan Negeri (DUN) juga hendak dipindah.

“Pembinaan bangunan baru bandar raya (Menara Darul Iman) telah mengambil kira saiz kakitangan untuk menempatkan semua jabatan dan unit dalam bandaraya di bawah satu bumbung yang akan dapat meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti PBT itu,” katanya.