Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7 dibuka

Noraini bersama para kenamaan merasmikan majlis berkenaan.
Noraini bersama para kenamaan merasmikan majlis berkenaan.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) secara rasmi telah membuka sebuah lagi dewan serbaguna di USJ 7 bagi kemudahan aktiviti komuniti setempat.

Yang DiPertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7 itu telah dibina dengan kos pembinaan sebanyak RM3.064 juta dan kerja-kerja pembinaan telah dimulakan bermula 1 Julai 2015 sebelum siap sepenuhnya pada 3 Ogos 2018.

"Pembinaan Dewan Serbaguna USJ 7 ini merupakan inisiatif MPSJ memperkasakan modal insan bagi membentuk komuniti yang berkemahiran, harmoni dan sejahtera seiring Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 di bawah Teras ke- 5 (Pembangunan Modal Insan).

"Dewan serbaguna ini mempunyai keluasan seluas 0.44 ekar dan rekabentuk dewan ini berkonsepkan moden di mana ianya mempunyai 2 aras (aras bawah dan aras mezzanine) serta mempunyai kemudahan seperti parkir (untuk golongan OKU, kenderaan hybrid dan orang awam), tandas yang selesa (untuk golongan OKU dan orang awam), bilik persalinan (lelaki dan wanita), pentas utama, gelanggang badminton dan juga bilik besyuarat.



Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7 dibina dengan kos pembinaan sebanyak RM3.064 juta.

"Dewan inj telah dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula bulan November 2018 yang lalu," katanya ketika ucapan perasmian.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dan Adun Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Selain itu, bersempena dengan Majlis Pembukaan Dewan USJ 7 ini, turut diadakan pertandingan badminton , aktiviti senamrobik serta program Karnival Wanita Inspirasi Ekonomi (KWIE) bagi memeriahkan majlis tersebut.

Noraini berkata, program KWIE juga merupakan program kerjasama di antara MPSJ dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan ianya bermatlamat untuk memberi peluang kepada masyarakat khususnya kaum wanita daripada golongan yang kurang berkemampuan mengikuti program berbentuk bengkel dan seminar usahawan.

Artikel Berkaitan:

"Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan pendapatan bulanan mereka serta mengeratkan silaturahim di kalangan penduduk dan masyarakat setempat.

"Pelbagai aktiviti telah direncanakan sebagai pengisian program ini di antaranya termasuk gerai jualan industri kecil dan sederhana (IKS), gerai kraftangan serta gerai pameran agensi," katanya.