Angkara halia merah, warga emas rugi RM9,000

No Image Caption
A
A
A

PUCHONG - Seorang warga emas kerugian RM9,000 selepas barang kemas dan wang tunai lesap mendakwa dipukau sindiket penipuan yang didalangi tiga wanita warga China Ahad lalu.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Tan, 70, berkata, kejadian berlaku di pasar pagi Puchong Indah selepas membantu seorang wanita berusia lingkungan 50-an menunjukkan lokasi di mana boleh mendapatkan halia merah di pasar itu.

Katanya, dia kemudian bersembang selama beberapa minit dengan wanita itu sebelum datang seorang lagi wanita berusia lingkungan 50-an ke arah mereka.

“Saya tunjukkan dia gerai yang ada jual halia merah tapi wanita yang baru datang itu beritahu dia tahu di mana ada ditanam sayur berkenaan di kawasan itu.

“Kami kemudian berjalan kaki hingga ke sebuah stesen minyak sebelum terserempak seorang lagi wanita berusia 30-an memandu sebuah kereta yang mendakwa datuknya ada menanam halia merah di rumah,” katanya.

Tan berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba wanita ketiga yang ditemui tahu mengenai kisah tiga anak lelakinya.

Wanita itu memberitahu seorang daripada anak Tan tidak berkahwin, seorang meninggal dunia manakala anak ketiga muflis.

“Saya terkejut bila dia tahu kisah keluarga saya, lebih membimbangkan apabila wanita itu beritahu nasib itu berlaku kerana saya ada terlangkah darah wanita mengandung yang mati dalam kemalangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

“Dia juga kata saya kena bersihkan semua harta untuk elak meninggal dunia,” katanya.

Suspek menukar beg berisi wang tunai dan barangan kemas milik Tan dengan dua botol air mineral yang dibalut kertas surat khabar.
Suspek menukar beg berisi wang tunai dan barangan kemas milik Tan dengan dua botol air mineral yang dibalut kertas surat khabar.

Bagaikan dipukau Tan berkata, dia menuruti arahan suspek dan terus memandu ke bank mengeluarkan wang tunai sebanyak RM6,000 dari dua bank yang berbeza.

Dia juga pulang ke rumah mengambil segenggam beras dan meletakkan semua barangan kemas dalam bungkusan beg berwarna biru yang diberi suspek.

“Saya kemudian kembali bertemu tiga wanita terbabit di stesen minyak dan mereka terus masuk ke dalam kereta sebaik saya sampai.

“Beg itu diletakkan di bahagian gear kereta dan saya disuruh membaca ayat mantera. Seingat saya memang mereka tak sentuh beg itu,” katanya yang tidak menyangka beg itu kemudian ditukar dengan beg warna sama oleh suspek.

Katanya, setelah selesai upacara ‘membersihkan’ barangan kemas dan wang tunai, ketiga-tiga wanita itu mengingatkannya supaya tidak membuka beg tersebut sebelum esok sebelum menghilangkan diri.

Tan mendakwa dia hanya menyedari ditipu apabila mendapati hanya terdapat dua botol air mineral 500 mililiter yang dibalut dalam helaian surat khabar dalam beg biru tersebut.

“Saya tak tunggu sampai esok sebab hati rasa tak sedap...bila buka buka beg terkejut semua barang kemas dan wang tunai ghaib,” katanya.

Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong petang Ahad lalu

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sosial dan Kebajikan Komuniti Puchong, Liew Yew Fook berkata, sindiket dipercayai didalangi tiga warga asing yang menyasarkan mangsa wanita, warga emas serta tertumpu di kawasan pasar pagi serta pasar malam.

“Dalam kes ini saya percaya mangsa dipukau. Kita bawa kes ini kepada media untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan helah seperti ini.

“Saya harap anak-anak dapat beritahu kepada ibu bapa mereka yang sudah berusia supaya tidak mudah tertipu dengan orang tidak dikenali,” katanya.