Tiada parti menang majoriti dalam Pilihan Raya Thailand 2019

Kumpulan penunjuk perasaan antijunta mengadakan protes membantah penyelewengan undi di Bangkok pada akhir Mac lalu. - Foto AFP
Kumpulan penunjuk perasaan antijunta mengadakan protes membantah penyelewengan undi di Bangkok pada akhir Mac lalu. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Thailand semalam mengeluarkan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum kontroversi berlangsung pada 24 Mac lalu yang menyaksikan parti protentera, Palang Pracharat bakal membentuk kerajaan gabungan walaupun tiada parti menang majoriti.

Parti prodemokrasi dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, Parti Pheu Thai memenangi 136 kerusi, namun ia tidak boleh membentuk kerajaan kerana gagal memperoleh majoriti 250 kerusi yang diperlukan di Dewan Perwakilan manakala parti protentera, Palang Pracharath memperoleh 115 kerusi.

Tetapi, Senat dijangka memberi sokongan yang akan memberi kelebihan kepada mereka untuk kekal memegang kuasa selain didakwa bakal membentuk kerajaan gabungan dengan parti kecil.

Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) mengumumkan kerusi senarai parti sehari selepas ia mengesahkan kemenangan 349 Ahli Parlimen di kawasan pilihan raya masing-masing.

Difahamkan, kerusi senarai parti mewakili 30 peratus di Dewan Perwakilan di bawah sistem perwakilan berkadar.

Keputusan terbaharu itu menunjukkan peningkatan jumlah kerusi dimenangi Palang Pracharath dan lebih banyak parti kecil yang dijangka membentuk gabungan dengan parti protentera tersebut.

"Palang Pracharath berada di landasan untuk membentuk kerajaan gabungan yang berkemungkinan terdiri daripada lebih 10 parti. Jadi, ia bakal memberi risiko terhadap kestabilan kerajaan kerana setiap parti akan bersaing untuk merealisasikan agenda mereka," kata pakar politik, Punchada Sirivunnabood.

Sebelum ini, Pheu Thai dan enam parti lain mendakwa telah membentuk gabungan terdiri daripada 255 kerusi, namun keputusan rasmi yang dikeluarkan mendapati 'barisan hadapan demokratik' itu hanya meraih 245 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Pheu Thai dalam satu kenyataan menegaskan ia akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan tersebut kerana kiraan undi tersebut didakwa melanggar Perlembagaan.

Sementara itu, akhbar Krungthep Turakij hari ini melaporkan Palang Pracharath telah meraih gabungan majoriti dengan 256 kerusi dan Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-Cha dijangka mengekalkan jawatannya.

Dalam perkembangan lain, EC dilaporkan masih melakukan siasatan terhadap 400 tuduhan berkaitan penyelewengan undi.

Info:

Keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Thailand 2019

- Parti Parti Pheu Thai memenangi 136 kerusi

- Parti protentera, Palang Pracharath memperoleh 115 kerusi