Kenderaan parkir tepi jalan punca sesak di Johor Bahru

Tindakan parkir di bahu kanan jalan yang bukan kawasan parkir menyebabkan laluan sempit.
Tindakan parkir di bahu kanan jalan yang bukan kawasan parkir menyebabkan laluan sempit.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan pemilik kenderaan yang parkir di tepi jalan sekitar bandar Johor Bahru menjadi punca utama kesesakan jalan di bandaraya ini.

Pengerusi Persatuan Bekas-bekas Polis Kanan Negeri Johor, Datuk A Sabapathy berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas pemilik yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Datuk A Sabapathy
Datuk A Sabapathy

"Saya terima banyak aduan malah anda (wartawan) boleh lihat sendiri di mana-mana saja kereta diletak tepi jalan, di kawasan garisan kuning hingga jalan jadi sempit.

"Sampaikan di kawasan kedai pun orang parkir atas kaki lima. Penguatkuasa kena ambil tindakan. Saman mereka, kalau perlu tarik (kenderaan) supaya mereka tidak parkir sesuka hati lagi," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Katanya laluan sekitar Jalan Trus, Jalan Meldrum serta Jalan Tan Hiok Nee antara lokasi yang sesak dengan kenderaan sepanjang masa dan tindakan meletak kenderaan sesuka hati menambah lagi kesesakan lalu lintas sedia ada.

Beliau memohon pihak berkuasa segera menangani isu tersebut bagi memastikan keselamatan semua pihak.

"Saya minta kepada pihak berkuasa, turunlah padang terutama ketua-ketua jabatan supaya anda tahu di mana mahu ditempatkan anggota.

Artikel Berkaitan:

Antara kenderaan diletak di tepi jalan sekitar kawasan bandaraya Johor Bahru.
Antara kenderaan diletak di tepi jalan sekitar kawasan bandaraya Johor Bahru.

"Letak kon tak selesaikan masalah, janganlah letak kon di tepi jalan, mencacatkan pemandangan saja. Pusinglah kawasan sekitar Johor Bahru ini, banyak betul kon.

"Saya cadangkan anggota bertugas buat rondaan, saman dan tarik mana-mana kereta yang degil," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung khabar diterimanya bahawa Jalan Trus akan dikecilkan susulan kerja-kerja penebukan jalan tersebut sedang dijalankan.

"Saya dimaklumkan Jalan Trus akan dikecilkan daripada dua lorong kepada satu lorong. Kalau ini betul, sangat bahaya.

"Jika berlaku kebakaran atau kemalangan bagaimana jentera pasukan penyelamat seperti bomba, ambulans atau polis nak masuk?," katanya.

Banyak kenderaan diparkir di kaki lima hadapan kedai-kedai.
Banyak kenderaan diparkir di kaki lima hadapan kedai-kedai.

Selain itu, beliau sempat memuji pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini namun katanya pegawai bawahan harus sama-sama membantu.

"Takkan nak suruh Dr Mahathir turun jaga trafik? Beliau dah buat kerja yang baik di atas tetapi yang di bawah ini kena buat kerja jugalah," katanya.

Beliau menasihatkan orang awam agar mematuhi peraturan lalu lintas yang digariskan dan pemilik kedai tidak mengambil kesempatan dengan menutup kawasan parkir untuk berniaga.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan sekitar mendapati banyak kenderaan termasuk kereta, lori dan motosikal diletak di kawasan larangan termasuk bahu jalan utama, kaki lima serta selekoh yang menyebabkan laluan menjadi terlalu sempit dan berbahaya.

Ada juga peniaga yang meletakkan tong sampah atau kon di kawasan kotak parkir.