Terkejut, teruja terima bantuan Exco dari PH

Abdul Yunus (dua dari kiri) bersama Fakhrurrazi (tiga dari kiri) dan wakil pengajar dan pelajar Pasti Pra Tahfiz Al Mujahideen, Parit Buntar meninjau keadaan enam unit pendingin hawa yang baru disumbang Exco Kerajaan Negeri Perak itu hari ini.
Abdul Yunus (dua dari kiri) bersama Fakhrurrazi (tiga dari kiri) dan wakil pengajar dan pelajar Pasti Pra Tahfiz Al Mujahideen, Parit Buntar meninjau keadaan enam unit pendingin hawa yang baru disumbang Exco Kerajaan Negeri Perak itu hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Berbeza fahaman politik bukan penghalang kepada Exco Kerajaan Perak dari PH, Abdul Yunus Jamhari menyalurkan bantuan kepada Pasti Pra Tahfiz Al-Mujahideen, Kampung Kedah, di sini yang dikelola seorang pemimpin Pas.

Lebih mengharukan, inisiatif pemberian sumbangan berupa enam pendingin hawa bernilai RM12,500 disalurkan Abdul Yunus kepada Pengerusi Pasti Pra Tahfiz Al-Mujahideen, Fakhrurrazi Khalid dalam tempoh dua hari sahaja bagi memberi keselesaan kepada para pelajar untuk menimba ilmu di situ.

Fakhrurrazi yang merupakan bekas Ketua Penerangan Pas kawasan Parit Buntar berkata, sebelum ini, dia ada mengemukakan permohonan bantuan secara terbuka kepada mana-mana pihak bagi mendapatkan dana pembelian enam unit pendingin hawa untuk kegunaan Pasti berkenaan.

Menurutnya, pihaknya terkejut apabila dihubungi Abdul Yunus sendiri yang mengemukakan tawaran membantu membiayai dana pembelian dan pemasangan pendingin hawa tersebut.

"Walaupun saya dan Abdul Yunus memang berkawan, namun mula-mula saya curiga kerana kami berbeza fahaman politik dan beranggapan mungkin sahabat saya ini bergurau.

"Namun apabila Abdul Yunus meminta saya membuat surat permohonan dan selang dua hari bantuan diluluskan menggunakan peruntukan Exco Kerajaan Negeri, saya benar-benar terkejut dan bersyukur di atas niat baik beliau," katanya kepada media sewaktu menerima lawatan ziarah Abdul Yunus di Pasti Pra Tahfiz Al-Mujahideen, di sini hari ini.

Fakhrurrazi berkata, keperluan pendingin hawa untuk Pasti itu amat mendesak, lebih-lebih lagi sempena kehadiran bulan Ramadan di mana penyediaan kemudahan itu membolehkan lebih 30 pelajar dapat menikmati suasana pembelajaran kondusif.

Selain itu, dia menegaskan Pasti Pra Tahfiz Al-Mujahideen masih memerlukan sumbangan dana bagi pembelian kamera litar tertutup (CCTV) demi pemantauan keselamatan pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Terkesan dengan inisiatif murni Abdul Yunus, saya berharap ada lagi wakil rakyat di Parlimen Parit Buntar yang sudi membiayai pembelian CCTV berkenaan di samping membantu menyelesaikan hutang pembangunan Pasti tertunggak hampir RM180,000.

"Bagi saya, selagi mana sumbangan disalurkan untuk pembangunan pendidikan dan agama anak-anak Parit Buntar, selagi itu saya akan menerimanya tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama," katanya.

Berbeza fahaman politik tidak menghalang Abdul Yunus (tengah) untuk membantu Pasti diusahakan Fakhrurrazi (kiri).
Berbeza fahaman politik tidak menghalang Abdul Yunus (tengah) untuk membantu Pasti diusahakan Fakhrurrazi (kiri).

Sementara itu, Abdul Yunus ketika ditemui menyifatkan inisiatif sumbangan berkenaan adalah demi kepentingan pendidikan agama anak-anak Parlimen Parit Buntar tanpa memilih bulu.

Menurutnya, institusi Pasti kini sudah mula diterima masyarakat di mana ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka mengikuti pendidikan pra-sekolah di situ meskipun berlainan fahaman politik.

"Bagi saya, dalam soal pendidikan dan agama, kita kena ketepikan sentimen politik sebaliknya menitikberatkan pembangunan pendidikan dan sahsiah anak bangsa.

"Selain sumbangan pendingin hawa, saya juga merancang untuk membantu membaik pulih sistem perparitan di kawasan Pasti berkenaan setelah dikenal pasti bermasalah," katanya.

Mana-mana pihak ingin membantu boleh terus menyalurkan sumbangan ke Akaun Maybank 558417508247 atas nama PASTI PRA TAHFIZ AL MUJAHIDEEN atau hubungi Fakhrurrazi di talian 019-4702933.