PATI pasar borong bertempiaran lari 'digegar' Imigresen

Antara PATI yang diberkas menerusi Ops Jaja di Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.
Antara PATI yang diberkas menerusi Ops Jaja di Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini bertempiaran lari selepas dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa menerusi Ops Jaja, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi bermula jam 9.30 pagi itu menggempur tiga premis di pasar borong terbabit.

Menurutnya, seramai 32 PATI berusia lingkungan 20 hingga 48 tahun termasuk tiga wanita ditahan hasil pemeriksaan 68 warga asing.

"Mengikut pecahan tangkapan, seramai 21 tangkapan membabitkan warga Myanmar, diikuti Indonesia (9 orang) dan India (2 orang).

"Turut ditahan dua warga tempatan berusia 38 dan 48 tahun disyaki majikan kepada mereka ini," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

No Image Caption

Beliau berkata, operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati PATI terbabit menyalahgunakan pas serta permit selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, siasatan awal mendapati rata-rata PATI ini disyaki merupakan pekerja di premis pasar borong terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya.