Apabila pemimpin kurang makan garam

A
A

BEKAS Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menasihatkan menteri Pakatan Harapan (PH) supaya mengekang perselisihan secara terbuka dan berhenti mencerca sesama sendiri.

Bekas Menteri Kewangan itu merujuk kepada pelbagai perselisihan umum oleh menteri dan pemimpin PH berhubung beberapa keputusan yang dibuat oleh Putrajaya.

Dalam temu bual bersama akhbar South China Morning Post yang disiarkan pada Selasa, Daim berkata, perbalahan terbuka membantu naratif pembangkang bahawa kerajaan baharu tidak layak menerajui negara.

Bagi rakyat marhein, perbalahan terbuka antara pemimpin PH sudah pasti sesuatu yang memualkan.

Rakyat membuat keputusan untuk memilih pentadbiran baharu kerana mereka mahu Malaysia dipacu ke arah lebih baik dan bukannya berpatah balik ke belakang.

Pemimpin yang sering bercakaran sesama sendiri jelas menunjukkan mereka kurang bekerja dan banyak berpolitik.

Kembalilah kepada masa lalu ketika pemimpin-pemimpin PH bertungkus-lumus untuk memenangi hati rakyat pada PRU14.

Pada masa itu kita dapat lihat mereka saling mempertahankan rakan masing-masing walau apa pun serangan yang dibuat oleh musuh politik.

Adakah mereka sudah lupa semua itu tatkala sudah mendapat tampuk kuasa? Kembalilah kepada slogan utama iaitu segala-galanya “demi rakyat”.

Contohilah sikap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim - satu gandingan yang tidak sempurna tetapi saling melengkapi.

Walau apa pun serangan, tidak kira apa pun cubaan untuk mengeruhkan hubungan antara mereka berdua, ia tidak akan berjaya kerana sikap tolak ansur antara mereka.

Presiden PKR itu, misalnya, mempertahankan Dr Mahathir dalam pergeseran terbaru dengan istana Johor.

Kata Anwar, sikap Dr Mahathir adalah betul dan pemimpin berusia 93 tahun itu telah menghantar mesej jelas bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati.

Itulah beza pemimpin yang sudah lama makan garam berbanding pemimpin yang baru sedikit merasa garam lautan tetapi melompat seolah-olah sudah merasai masin!


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia