Ada nak saya mati, tapi ada juga yang sayang: Mahathir

A
A

Ada nak saya mati, tapi ada juga yang sayang: Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada rakyat Malaysia memiliki perasaan yang bercampur-campur terhadapnya mungkin kerana salah faham ketika beliau memegang jawatan perdana menteri buat kali kedua.

Sementara itu katanya ada yang masih menyatakan rasa sayang kepadanya, namun kata pemimpin berusia 93 tahun itu terdapat juga orang yang berharap supaya beliau mati.

Kata Tun ada yang bermati-matian berharap supaya beliau mati, tapi ada yang berjumpa saya mahu bersalam dan ada yang melaungkan Saya Sayang Tun, katanya ketika wawancara khas bersama media sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH.

Dr Mahathir yang pernah dianggap sebagai seorang diktator ketika kali pertama menjadi perdana menteri menyaksikan tahap sokongan terhadapnya mencapai 83 peratus sewaktu beliau memimpin PH menumbangkan pemerintahan BN pada Mei 2018.

Bagaimanapun, menurut tinjauan Merdeka Centre tahap sokongan terhadapnya merosot sebanyak 37 peratus meletakkannya pada kadar 46 peratus setakat Mac 2019.

Parti pemerintah, dilaporkan mengalami kemerosotan tahap sokongan berpunca daripada dasar-dasar yang lemah dan janji manifesto yang tidak dikotakan.

Kerajaan PH tidak henti cari jalan 'hapuskan' saya: Najib

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak berhenti mencari jalan untuk 'menghapuskan' beliau.

Dalam satu hantaran di Facebook Najib mengimbas semula insiden yang berlaku terhadap beliau dan keluarga pada hari pertama Ramadan selepas Pakatan Harapan diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui Kerajaan Persekutuan.

Kata Najib, setahun yang lalu, hari pertama Ramadan. Berlarutan hingga sahur mereka ganggu di rumah saya. Di rumah bonda juga.

Detik bermulanya petanda bahawa tiada nilai kemanusiaan kerajaan PH hari ini. Setahun kini telah berlalu. Kerajaan PH tidak henti mencari jalan menghapuskan saya," tulis Najib.

Dalam hantaran itu, Najib berkata, rakyat boleh membuat pertimbangan dengan membaca Facebook dan media sosial beliau.

Menurut Najib, walaupun diberi tekanan beliau akan terus berjuang untuk rakyat.

Wawasan 2020 tersasar, ganti Wawasan 2025

Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan sasaran baharu untuk Malaysia menjadi negara maju dan contoh kepada dunia menerusi Wawasan 2025, lima tahun terlewat berbanding Wawasan 2020 yang diilhamkannya hampir 30 tahun lalu.

Sasaran baharu itu, katanya, adalah kerana Wawasan 2020 yang digariskan beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sehingga 2003, sudah tersasar daripada objektif asal.

Tanpa menyebut sebarang nama, Dr Mahathir berkata, selepas beliau meletak jawatan Perdana Menteri pada 2003, penggantinya memastikan objektif Wawasan 2020 tidak tercapai.

Wawasan 2020 adalah dasar pandangan jauh dikemukakan Dr Mahathir ketika membentangkan kertas kerja khas bertajuk ‘Malaysia: Langkah Ke Hadapan’ pada persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada 1 Mei 1991.

UMNO jangka PRU-15 tahun depan

UMNO kini menumpukan usaha menyusun strategi dalaman untuk mentadbir semula kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuma bertahan dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau menjangkakan PRU-15 akan diadakan tahun depan kerana rakyat semakin tidak selesa, hidup tertekan dan percaya jika keadaan itu berterusan, rakyat akan mendesak kerajaan menjalankan PRU-15.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga yang mendakwa kenal lama dan tahu ‘gaya’ Tun Dr Mahathir Mohamad, percaya Perdana Menteri tidak akan menyerahkan jawatan berkenaan kepada bakal penggantinya.

Biarpun tidak menyatakan nama ‘bakal Perdana Menteri’ itu, Mohamad dipercayai merujuk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jalan TAR dibuka semula hari minggu bermula 11 Mei

Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang ditutup kepada semua kenderaan persendirian pada hujung minggu, akan dibuka semula kepada kenderaan pada 11 Mei ini untuk memudahkan orang ramai membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Batu Road Retailers Association (BARRA) dan Masjid India Business Association (Miba).

Pada 12 Februari lepas, Khalid dilaporkan berkata penutupan jalan itu dilakukan berikutan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menjadikan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu sebagai kawasan pejalan kaki.

Pada 12 Mac lepas, Khalid berkata rancangan menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai kawasan pejalan kaki akan dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April lepas.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia