Pastikan hotel berstatus halal untuk berbuka puasa

Noridzuan Abdul Manan
Noridzuan Abdul Manan
A
A
A

KUANTAN - Umat Islam yang berhasrat untuk berbuka puasa di hotel perlu lebih prihatin dengan memilih hotel-hotel yang diperakui status halalnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Noridzuan Abdul Manan berkata, terdapat 61 hotel di negeri ini disahkan halal oleh JAIP dan sebahagian besarnya menyediakan menu berbuka puasa.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 28 hotel beroperasi di Kuantan yang kebiasaannya menjadi pilihan utama umat Islam untuk berbuka puasa.

“Jadi kita sarankan umat Islam sama ada dari jabatan kerajaan, swasta atau orang perseorangan yang berhasrat untuk mengadakan majlis berbuka puasa agar pilih hotel-hotel diperakui dengan status halalnya.

“Hotel yang dianugerahkan sijil halal ini melalui proses semakan dan audit menyeluruh bagi memastikan semua bahan ramuan yang digunakan adalah dari sumber yang disahkan halal,” katanya.

Noridzuan berkata, selain itu aspek penyediaan makanan yang baik dan bersih selaras dengan peraturan keselamatan makanan turut diberi penekanan yang sewajarnya sehingga layak diberikan sijil halal.

Menurutnya, hotel-hotel yang memiliki sijil halal dan menyediakan juadah berbuka puasa dipantau secara berkala khususnya sebelum bulan Ramadan lagi bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur dan piawaian halal sentiasa pada tahap terbaik dan terus diyakini oleh pelanggan.

Artikel Berkaitan: