Anwar ingatkan jangan pandang ringan ancaman api perkauman

 Anwar Ibrahim - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Anwar Ibrahim - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang ringan dan diketepikan.

Jelas beliau, jika perkara itu dibiarkan ia mampu meroboh segala usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya.

"Harus diingatkan juga bahawa masalah hubungan antara kaum dan agama di negara ini dilihat semakin meruncing tatkala Pakatan Harapan sedang menjelmakan perubahan dan reformasi yang didambakan," katanya menerusi Perutusan Khas Ulang Tahun Pertama Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, usaha dan upaya PH dalam gagasan reformasi juga harus dimaknai dengan dasar-dasar ekonomi yang mengangkat dan membebaskan masyarakat

"Tekad dan iltizam politik juga harus diselaraskan agar supaya kekayaan negara tidak hanya kepada golongan yang kaya sahaja.

"Tekad dan iltizam politik juga harus diselaraskan agar ia benar-benar memberi dampak yang menyeluruh agar kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang kaya dan berpangkat sahaja.

"Malah ia mesti mengesankan mereka yang menderita, terpinggir dan melarat," kata beliau.

Anwar berkata, ulang tahun pertama pentadbiran PH merupakan satu kejayaan untuk menundukkan kebobrokan, kebejatan dan keangkuhan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan berkat dokongan dan sokongan rakyat berbilang kaum dan agama akhirnya memungkinkan peralihan kuasa yang aman dan demokratik.

"Tentunya mencapai kemenangan yang kita nikmati hari ini tidak mudah dan ia bertitik tolak dari kesedaran dan pengorbanan mereka yang benar-benar mendambakan perubahan dan reformasi yang bermakna sejak 20 tahun lampau.

"Banyak air mata dan keringat yang dilaburkan untuk memungkinkan ledakan kuasa rakyat tanggal 9 Mei 2018," ujarnya.

Justeru itu katanya, jika ditelaah semula pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh pentadbiran PH, ternyata ia merupakan suatu pencapaian yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara.

"Bagaimanapun, tidak dinafikan juga masih banyak lagi yang perlu dilunaskan dan diselenggara supaya negara ini akan kembali dihormati dunia," jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menggembleng seluruh tenaga dan pihak pembangkang sebelum ini dalam usaha merubah landskap politik negara ke tahap yang dikecapi hari ini.

"Justeru marilah bersama-sama kita merapatkan saf dan kembali membetulkan tekad dalam memaknai perubahan yang diimpikan," katanya.

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak