'Pahang Go' mudahkan urusan pembayaran bil, cukai

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan melancarkan aplikasi mudah alih, Jun depan bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran pelbagai bil dan bayaran kompaun serta cukai taksiran dengan lebih cepat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata aplikasi yang diberi nama 'Pahang Go' merupakan satu langkah untuk mentransformasikan Pahang ke arah ekonomi digital.

"Kita sedia maklum, dunia kini telah berubah ke arah digital dan banyak aplikasi telah muncul, maka itu kita perlu berubah dan memikirkan bagaimana cara untuk kita memudahkan orang ramai membuat pembayaran.

"Dengan aplikasi ini, kerajaan negeri memberi pilihan sama ada rakyat mahu meneruskan pembayaran di kaunter atau bertukar arah kepada aplikasi Pahang Go yang hanya boleh membuat pembayaran melalui telefon.

"Pahang Go telah pun mendapatkan kelulusan daripada semua Exco dan kemungkinan besar kita akan lancarkan pada bulan enam (Jun) ini," katanya pada sidang media ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Pahang di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, penghasilan aplikasi mudah alih yang dibangunkan sendiri oleh kerajaan negeri itu diyakini mampu menarik rakyat menggunakan Pahang Go yang mampu menjimatkan masa dan wang ringgit mereka.

Menurutnya, dengan inisiatif tersebut, ia dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan hasil pendapatan di samping memberi kesan positif kepada rakyat.

"Aplikasi ini memudahkan orang ramai membuat pembayaran seperti bil elektrik, bil air dan juga pembayaran cukai-cukai hasil tanah serta-merta dengan lebih pantas tanpa perlu hadir ke kaunter.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir aplikasi ini akan menarik minat masyarakat kerana kalau berurusan di kaunter, mereka perlu bayar tempat parkir kenderaan dan perlu meluangkan masa untuk ke sana.

"Di samping itu, caj yang dikenakan jika menggunakan aplikasi Pahang Go juga sama seperti mana kita membuat pembayaran di kaunter," katanya.