‘PH banyak buat pusingan U’

Ismail Sabri Yaakob - Foto Sinar Harian
A
A

SEBAGAI pembangkang di Parlimen selepas 9 Mei 2018, Barisan Nasional (BN) nampaknya lebih proaktif kerana ahli-ahli Parlimennya lebih mengetahui dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

Kedudukan itu menjadikan Ahli Parlimen BN lebih efisien sebagai semak dan imbang kepada kerajaan PH termasuk dalam beberapa jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat pengenalan jawatankuasa berkenaan masih belum mencapai peranan sebenarnya.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Junhairi Alyasa bersama beliau sempena setahun pentadbiran kerajaan PH.

SINAR: Selepas 9 Mei 2018, Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang setelah lebih 60 tahun memerintah negara. Selepas setahun berlalu, bagaimana Datuk Seri melihat prestasi BN sebagai pembangkang?

ISMAIL SABRI: Pada peringkat awalnya saya nampak memang agak kekok sebab BN tidak pernah jadi pembangkang. Jadi pemikiran kita bukan pemikiran pembangkang pada peringkat awalnya, begitu juga kita lihat yang berlaku kepada kerajaan.

Mereka pun masih merasakan mereka pembangkang, malah kerajaan dan ahli-ahli Parlimen kerajaan masih bersifat seperti pembangkang. Sebab itu hingga setahun, mereka masih belum berubah. Kita pada peringkat awal tidak bersikap agresif seperti pembangkang, selepas beberapa lama akhirnya kita sudah tahu kedudukan kita dan cara kita juga semakin agresif dalam membangkitkan pelbagai isu.

Apabila kita menjadi pembangkang yang agresif membawa isu-isu rakyat, kita nampak kerajaan akhirnya banyak membuat ‘U-Turn’ terhadap dasar-dasar yang mereka buat dan tidak menguntungkan negara.

Maknanya, tindakan kita sebagai pembangkang itu berjaya. Setiap isu rakyat kita bangkitkan dan kita lebih berupaya daripada mereka sebab sebahagian daripada kita pernah berada dalam kerajaan. Sebagai contoh, dalam isu besar seperti isu PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Ahli Parlimen Lenggong), dia pernah menjadi Pengerusi PTPTN. Jadi dia tahu hal berkaitan PTPTN.

Pihak kerajaan PH kini berhadapan dengan pihak pembangkang yang lebih tahu daripada mereka. Tetapi jelas, apabila kita lebih tahu banyak isu tertentu dan lebih baik daripada mereka, apabila kita bangkitkan isu-isu itu mereka tidak boleh nak lawan balik dan akhirnya mereka terpaksa akur dengan kita.

Selepas Datuk Seri ambil alih jawatan ketua pembangkang daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, apakah visi dan misi Datuk Seri dalam membawa suara pembangkang di Parlimen?

ISMAIL SABRI: Sebenarnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah berjaya meletakkan asas untuk jalinkan kerjasama antara pembangkang di Parlimen. Di blok pembangkang, yang benar-benar pembangkang ialah UMNO dan Pas walaupun kita ada parti-parti Sarawak yang bukan bersama dengan kerajaan.

GPS (Gabungan Parti Sarawak) tidak bersama PH tetapi mereka juga tidak bersama BN. Begitu juga dengan rakan-rakan di Sabah, antaranya STAR dan PBS. Blok pembangkang yang sebenar ialah UMNO dan Pas. Kita ada 58 Ahli Parlimen dalam satu blok.

Peranan saya di Parlimen adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan kerjasama antara UMNO dan Pas. Isu yang kita bangkitkan adalah isu bersama. Walaupun kita berbeza, tetapi kita boleh berbincang dahulu isu-isu yang kita boleh bangkitkan bersama-sama. Misalnya isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dulu.

Semua Ahli Parlimen Pas dan UMNO akan bercakap mengenainya. Apabila timbul isu Statut Rom, kita akan bercakap perkara yang sama juga. Walaupun kita bebas untuk membangkitkan isu, tetapi dalam isu tertentu kita akan bangkitkan bersama. Apabila UMNO buat keputusan untuk keluar dewan. Pas secara automatik akan ikut keputusan UMNO untuk keluar dewan. Solidariti itu menjadi, ia menunjukkan bahawa jika terjadi sesuatu isu, kita akan tunjukkan solidariti kita.

Isu Tabung Haji pun Pas bangkitkan, dan ia juga menjadi isu UMNO. Apabila kita membuat sidang media, kita tidak seperti dahulu. Dulu UMNO akan buat sendiri, BN buat sendiri, Pas buat sendiri. Kini tidak lagi begitu. Selepas saya memimpin blok pembangkang di Parlimen, kita usahakan sidang media pun kita buat bersama. Maknanya setiap perkara yang kita lakukan di Parlimen, kita lakukan secara bersama untuk solidariti kita.

Kerajaan Pakatan Harapan cuba melakukan reformasi dalam Parlimen antaranya jawatan-jawatan penting melibatkan kerajaan mesti dibuat melalui Parlimen, contohnya Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mestilah daripada pembangkang. Setakat ini, adakah Datuk Seri melihat usaha yang dilakukan itu sudah cukup untuk pembangkang berpuas hati?

ISMAIL SABRI: Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana cuba membuat perubahan di Parlimen. Sebenarnya reformasi atau transformasi Parlimen ini telah dilaksanakan sejak BN memerintah dan kini disambung oleh kerajaan.

Terima kasih PH kerana menyambung usaha kita dan menambah baik lagi usaha yang dilakukan BN. Sebagai contoh, melantik Pengerusi PAC dalam kalangan pembangkang dengan melantik Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, tetapi kemudian apabila Ronald menyertai Pakatan Harapan (dan enggan melepaskan jawatan), isu itu kemudiannya diasak dan dibangkitkan di Parlimen hinggalah ada ahli PAC letak jawatan. Tetapi, alhamdulillah akhirnya perkara itu selesai dan terima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya melantik Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai Pengerusi PAC yang baharu.

Cuma dalam jawatankuasa berkenaan, penglibatan pembangkang adalah dalam jumlah lebih kecil dan ini semestinya akan menyukarkan proses undian. Jadi kalau nak mengundi apa-apa, awal-awal lagi kita sudah kalah.

Sebelum mengundi kita sudah tahu keputusannya. Peranan jawatankuasa pilihan Parlimen pula tidak seperti yang dijangkakan, tidak seperti yang dirancang.

Sudah dua kali bermesyuarat bagi membincangkan apa kuasa yang ada pada kita. Adakah kuasa kita setakat semak nama, bincang-bincang? Satu lagi dari segi transformasi Parlimen. Salah satu perkara yang ditransformasikan dan dibuat perubahan adalah dari segi soal jawab lisan.

Dulu kita bahaskan dari segi jangka masa untuk bertanyakan soalan dan menteri menjawab. Sekarang ini dihadkan untuk soalan 30 saat, menteri menjawab satu minit. Kita tidak setuju perkara ini kerana tidak kesampaian untuk mendapatkan jawapan daripada usul tersebut.

Yang kedua, sesuatu soalan yang penting itu kita perlukan jawapan agak panjang daripada menteri. Kerana menteri hanya menjawab selama seminit, jawapan terpaksa dihentikan dan menteri akan berikan jawapan bertulis kepada soalan tersebut. Maknanya tak kesampaian soalan tersebut.

Adakah Datuk Seri melihat speaker patut kaji semula perkara ini?

ISMAIL SABRI: Ya, saya akan mencadangkan supaya perkara ini dikaji semula dari segi kesesuaian had masa seminit. Begitu juga dengan penggulungan. Jika dulu, menteri tidak diberikan had masa untuk menjawab semasa penggulungan. Kadang-kadang sampai dua jam.

Ketika jadi menteri, saya pernah menjawab sampai satu jam setengah. Tapi kali ini, penggulungan dihadkan kepada setengah jam ataupun 45 minit atau paling lama satu jam.

Bila dihadkan, banyak perkara yang tidak dijawab. Jadi akhirnya menteri boleh mengelak untuk memberikan jawapan. Mereka menganggap ini suatu reformasi Parlimen tetapi reformasi ini merugikan semua pihak.

Adakah ini amalan speaker dan timbalan speaker?

ISMAIL SABRI: Dulu tidak menjadi amalan. Sekarang menjadi amalan. Tapi tidak semua yang buat sebegitu, cuma ada satu daripada tiga speaker yang berbuat begitu. Kadang-kadang saya nampak speaker ini agak berat sebelah berdasarkan parti. Sepatutnya, apabila speaker berada di tempatnya di Parlimen, dia mesti bebas dan menjadi speaker untuk semua, pembangkang dan kerajaan. Itu salah satu kegagalan reformasi Parlimen.

Apa kemudahan yang tidak diberikan kepada Datuk Seri sebagai Ketua Pembangkang?

ISMAIL SABRI: Sepatutnya dari segi manifesto PH, kedudukan Ketua Pembangkang adalah sama dengan menteri dan mendapat segala faedah yang menteri dapat, Ketua pembangkang juga akan dapat.

Tetapi dari segi pelaksanaan, sebenarnya tidak ada. Yang ada hanya bilik Ketua Pembangkang. Kakitangan juga tidak ada. Sepatutnya pihak Parlimen kena sediakan kakitangan sebab jawatan Ketua Pembangkang ini ialah jawatan rasmi.

Baru-baru ini kerajaan membentangkan satu usul yang mencatatkan sejarah iaitu meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai sebagai rakan kongsi yang lebih jelas dalam Malaysia. Usul itu gagal. Apakah komen Datuk Seri?

ISMAIL SABRI: Sebenarnya usul ini adalah usul yang tidak memberi apa-apa makna kepada Sabah dan Sarawak. Kita tidak menolak usul itu, kita bersetuju untuk meluluskannya tetapi bersyarat. Kita tidak katakan kita tolak usul itu, kita kata usul itu perlu diluluskan tetapi bersyarat.

Syarat yang pertama ialah perkara ini mesti dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen supaya ia dibincang secara teliti mengenai pindaan yang dicadangkan. Seperti yang kita kata tadi, pindaan Perlembagaan tidak dilakukan dalam Parlimen. Sudah lama perkara ini tidak berlaku.

Saya rasa sudah 10 tahun dan lebih tiada pindaan Perlebagaan Persekutuan. Tiba-tiba mereka mahu buat pindaan, seolah-olah ia dibuat dengan tergesa-gesa. Biasanya kalau kita hendak buat pindaan kepada Perlembagaan, kita akan buat taklimat kepada pembangkang dan panggil mereka berbincang. Malangnya taklimat tidak dibuat. Sebenarnya ia tidak membawa apa-apa keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak.

Kenapa taklimat tidak dibuat?

ISMAIL SABRI: Ia tidak dilihat secara teliti. Yang pertama, mereka mahu perubahan dari segi kategori dan sebagainya. Yang kedua, mereka nak masukkan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kalau setakat perubahan negeri, dia tidak membawa apa-apa makna kepada MA63. Saya berucap sebagai Ketua Pembangkang, saya katakan perlu dimasukkan di bawah Jawatankuasa Pilihan yang ada wakil kerajaan dan kita boleh berbincang.

Datuk Seri, kerusi PH di Parlimen bertambah kerana ada ahli Parlimen pembangkang melompat masuk ke PH. Adakah Datuk Seri fikir trend ini akan berlaku lagi pada masa depan?

ISMAIL SABRI: Saya tidak boleh menjangka sebab orang yang melompat ada macam-macam isu yang menyebabkan dia melompat. Sesetengah itu mungkin tertekan kerana mungkin ada kes-kes terhadap mereka. Mungkin ada kes-kes mahkamah atau kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan yang menyebabkan mereka diberi tekanan atau diugut dan sebagainya untuk melompat, ataupun mungkin mereka dibayar.

Saya dengar ada antara mereka yang dibayar dan sebagainya. Jadi kalau perkara ini terus dilakukan, saya tidak boleh memberi jaminan apa-apa. Cuma saya harap mereka yang melompat ini perlu sedar mereka tidak mendapat apa-apa keistimewaan di tempat mereka selaku Ahli Parlimen.

Contohnya apa yang berlaku kepada seorang Ahli Parlimen. Rakyat menolak sepenuhnya. Ada satu wakil rakyat yang melompat itu, nak buat program pun tidak boleh. Nak pergi kenduri pun diboikot. Jadi ini mungkin memberi kesedaran supaya orang yang nak melompat fikir dua kali. Kita jangan fikir diri kita, fikirkan rakyat di tempat kita.

Kalau Ahli Parlimen itu sanggup menjadi kera sumbang, tidak dilayan, mereka lompatlah. Saya harap akan timbul kesedaran dalam kalangan yang melompat kerana akhirnya mereka tidak dapat apa-apa. Kamu masuk ke dalam gelanggang musuh yang memang dah lama nak lemahkan kamu... akhirnya kawan hilang dan musuh pun tak nak berkawan.

Bagaimana dengan hasrat BN untuk saman wakil rakyat BN yang melompat masuk PH?

ISMAIL SABRI: Saman tetap saman. Saya difahamkan peguam sudah hantar surat saman kepada mereka. Jadi terserah kepada mereka. Parti UMNO ini parti untuk orang Melayu. Jadi kita terima sesiapa sahaja orang Melayu. Yang belum masuk UMNO, kami terima. Orang Melayu yang sudah menyesal dan mahu balik semula kepada UMNO, oleh kerana parti ini parti Melayu, kita terbuka dan kita akan pertimbangkan. Tapi kita ada peraturan-peraturan.

Dari segi mood politik, apakah perbezaan antara Mei 2018 dengan Mei 2019? Adakah Datuk Seri melihat ada perubahan mood politik dalam tempoh setahun lalu?

ISMAIL SABRI: Saya nampak mood politik begitu berubah. Perubahannya begitu besar. Saya rasa apa yang berlaku kepada kerajaan hari ini berlaku kepada kerajaan BN sebelum PRU14.

Waktu itu mood rakyat kepada kita negatif, terlalu negatif dan mood rakyat yang negatif terhadap kerajaan BN dahulu sudah beralih kepada mood negatif terhadap kerajaan PH hari ini.

Buktinya jelas. Mula-mula rakyat tidak terjemahkan dalam bentuk undi. Rakyat marah, orang kampung marah. Harga sawit rendah, harga getah rendah, jatuh. Petani susah, harga baja tinggi, harga racun tinggi. Jadi perkara-perkara ini menyebabkan orang marah dan kecewa dengan kerajaan. Manifesto PH secara terang PH kata tak mahu tunaikan. Pada mulanya mereka kata 100 hari, selepas 100 hari mereka kata takkanlah isteri baru kahwin hari ini terus bersalin.

Ketika itu orang masih terima. Akhirnya selepas enam hingga lapan bulan, kerajaan PH masih tidak ada sebarang perubahan, Yang mereka buat hanyalah menyalahkan kerajaan lama.

Pada peringkat awal, kita cuma nampak orang marah. Waktu Pilihan Raya Kecil (PRK) yang awal, kita kalah di DUN Sri Kandis, kita kalah di DUN Balakong, kita kalah di DUN Seri Setia. Tetapi kini kemarahan rakyat sudah diterjemahkan melalui undi apabila mereka mula mengundi pembangkang BN. Kita menang besar di PRK Parlimen Cameron Highlands, kita menang besar di DUN Semenyih dan kita menang besar di DUN Rantau.

Boleh Datuk Seri kongsikan bentuk hubungan dan kerjasama antara UMNO dan Pas. Apakah yang sebenarnya berlaku?

ISMAIL SABRI: Hubungan UMNO dan Pas sekarang ini memang sudah semakin rapat. Sudah tiga pilihan raya kecil UMNO-Pas bekerjasama. Dari segi gerak kerja di peringkat bawah, memang kita jalankan secara bersama. Saya mempengerusikan mesyuarat UMNO dan Pas untuk PRK Cameron Highlands dan Semenyih. Program Perpaduan Ummah juga kita jalankan secara bersama, ia mengeratkan UMNO dan Pas.

Kita sudah tubuhkan jawatankuasa induk dan jawatankuasa teknikal. Jawatankuasa teknikal sudah dua kali bermesyuarat bersama Pas dan dipengerusikan Naib Presiden UMNO dan Naib Presiden Pas, bersama tujuh ahli. Mereka telah membincangkan perkara ini dengan mendalam dan keputusan mesyuarat akan dibentangkan kepada jaatankuasa induk dalam masa terdekat.

Apakah harapan Datuk Seri menjelang PRU15 nanti?

ISMAIL SABRI: Saya harap pilihan raya umum itu akan berlaku dengan cepat berbanding lima tahun akan datang. kepada saya, kerajaan perlu jujur kepada rakyat. Kalau mereka rasa mereka tidak mampu untuk menjaga rakyat, eloklah mereka bubarkan Parlimen dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan yang terbaik.

Saya harap ke arah pilihan raya umum akan datang, rakyat semakin sedar akan kebaikan kerajaan BN dan keburukan kerajaan hari ini. Apabila kita kalah, kita hampa... kita terlalu kecewa.

Tetapi akhirnya kita sedar ini rancangan ALLAH. Mungkin ALLAH hendak beri peluang kepada rakyat membuat perbandingan. Saya harap menjelang PRU akan datang, rakyat sudah boleh membuat perbandingan tentang kebaikan dan keburukan PH.

Saya pernah menyatakan di beberapa tempat, apabila sesebuah kerajaan itu dibina dengan asas penipuan dan fitnah, ia tidak akan berkekalan. Kita boleh tipu rakyat sekali, tetapi bukan berkali-kali. Kita boleh mempengaruhi rakyat dengan fitnah-fitnah kita dan akhirnya rakyat akan tahu kebenaran yang terserlah jua. Itu tidak boleh dinafikan.

Dalam manifesto PH, ia jelas menjanjikan apa sahaja walaupun mereka tidak boleh melakukan. Saya juga mengharapkan agar hubungan kerjasama UMNO dan Pas ini akan terus berkekalan dan sama-sama bentuk kerajaan baharu.