Gunung Mas lokasi sesuai ganti Jakarta

Jokowi (tengah) ketika meninjau Bukit Nyuling, Kelurahan Tumbang Talaken, Kecamatan Manuhing, Kabupaten Gunung Mas di Kalteng, semalam.
A
A

JAKARTA - INDONESIA . Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi memaklumkan Kabupaten Gunung Mas di Kalimantan Tengah (Kalteng) adalah lokasi paling sesuai untuk dijadikan ibu negara baharu berdasarkan keluasan wilayah tersebut.

Kenyataan itu dibuat ketika lawatan beliau ke Kelurahan Tumbang Talaken, Kecamatan Manuhing, Kabupaten Gunung Mas untuk melihat lokasi baharu yang akan menggantikan Jakarta.

Menurutnya, ia bagaimanapun perlu dikaji dalam pelbagai aspek.

"Persediaan infrastruktur perlu dibuat dari awal selain mempertimbangkan isu sosial politik, sosiologi masyarakat dan perkara lain," katanya.

Jelasnya lagi, terdapat kelebihan dan kekurangan lokasi pertama di Bukit Soeharto, Balikpapan, Kalimantan Timur (Kaltim) dengan Kabupaten Gunung Mas tersebut.

"Balikpapan masih berdepan isu banjir manakala Kalimantan Tengah pernah dipilih bekas presiden Soekarno. Ia pasti mempunyai sebab tersendiri. Tidak mungkin keputusan itu dibuat tanpa hujah data dan fakta," tambahnya.

Jokowi menjelaskan sebuah pasukan akan dihantar ke lokasi terbabit untuk melakukan tinjauan.

Maklumat yang dikumpulkan itu kemudiannya akan diserahkan kepada beliau sebelum diputuskan.

"Saya turun sendiri ke lokasi terbabit untuk mencari 'feel' kerana mudah untuk membuat keputusan kelak," ujarnya. - Kompas.com


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia