LPPSA anjur ‘Preloved Pinch for Charity’

Hasil jualan tapak bagi program ‘Preloved Pinch for Charity’ akan disalur ke pertubuhan kebajikan yang terpilih.
Hasil jualan tapak bagi program ‘Preloved Pinch for Charity’ akan disalur ke pertubuhan kebajikan yang terpilih.
A
A
A

GOMBAK - Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bakal menganjurkan ‘Preloved Pinch for Charity’ di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak selama dua hari bermula 25 Mei ini.

Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat LPPSA, Yunny Hussain berkata, program tanggungjawab sosial itu akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu bagi memberi peluang orang ramai menjual barangan terpakai pada harga mampu milik.

Menurutnya, pihaknya menawarkan 112 tapak jualan pada harga berpatutan dan kesemua hasil jualan tapak yang diperoleh akan disalurkan kepada pertubuhan kebajikan terpilih.

“Program ‘Preloved Pinch for Charity’ ini adalah platform bagi mereka yang mencari barangan berkualiti pada harga berpatutan.

“Ia bertujuan membantu penduduk setempat mencari pendapatan sampingan dalam masa sama berjimat mendapatkan barangan berkualiti sekaligus turut menderma menerusi hasil belian tapak,” katanya.

Yunny berkata, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan secara percuma kepada pengunjung antaranya cabutan bertuah, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan solekan untuk pasangan, penampilan badut dan pemberian belon percuma.

Katanya, jualan tapak terbuka bukan sahaja kepada mereka yang ingin menjual barangan ‘preloved’, namun barangan baharu untuk hari raya khususnya baju raya, beg tangan, kasut, baju kanak-kanak, biskut raya dan servis kecantikan.

“Tapak jualan ini ditawar pada harga berpatutan iaitu RM40 sehari atau RM80 dua hari bagi tapak di luar dewan dan RM50 sehari atau RM100 untuk dua hari bagi tapak di dalam dewan yang berhawa dingin,” katanya.

Artikel Berkaitan: