X

Kindly register in order to view this article
!

JPJ, Miros perlu keluar hasil kajian cermin gelap

Lee Lam Thye
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Keselamatan Jalanraya Malaysia (Miros) perlu berkongsi maklumat dan kajian yang dibuat dalam dan luar negara mengenai had cermin gelap kepada orang ramai.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kedua-dua agensi itu perlu menunjukkan statistik yang membuktikan kadar jenayah tiada kaitan dengan penggunaan cermin gelap agar kegusaran orang ramai dapat diatasi.

"Langkah ini penting bagi mengatasi kebimbangan sesetegah pihak mengenai kemungkinan meningkatnya kes jenayah akibat penggunaan cermin gelap ini.

"Banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa penjenayah boleh menyembunyikan diri di tempat duduk belakang kenderaan yang mempunyai cermin gelap manakala mangsa culik mungkin tidak dapat dilihat.

"Semua agensi penguatkuasaan perlu duduk semeja dan berbincang mengenai keputusan had cermin gelap yang baharu serta mencari jalan untuk mengatasi sebarang masalah ekoran dasar ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan.

Ia bermakna, cermin berkenaan boleh menggunakan lapisan filem atau cermin gelap hitam sepenuhnya, berbanding peraturan sekarang yang menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

Bagaimanapun keputusan tersebut mendapat reaksi berbeza daripada beberapa pihak termasuk Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias yang mengatakan tindakan itu menyukarkan polis membuat pemeriksaan dan mengesan penumpang di bahagian belakang.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, kebenaran penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan sememangnya dinantikan oleh pelbagai pihak.

"Antara sebab utama keputusan tersebut disokong adalah kerana ia mampu melindungi penumpang daripada terik cahaya matahari di negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia selain mengurangkan kejadian pecah kereta apabila pencuri tidak lagi dapat mengintai barangan yang berada di dalam kenderaan.

"Saya percaya pihak terbabit telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai penggunaan cermin gelap tersebut termasuk dari sudut keselamatan, kesihatan dan jenayah," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai juga perlu dididik mengenai perbezaan filem gelap yang ada di pasaran kerana kadar kegelapan yang tinggi tidak semestinya mengurangkan kepanasan dalam kenderaan.

"Mereka perlu tahu sekiranya filem gelap yang digunakan itu hanya menghalang kemasukan cahaya, ia tidak cukup untuk menyejukkan kabin kenderaan kerana sinar cahaya matahari mengandungi tiga elemen iaitu cahaya yang boleh dilihat pada kadar 43 peratus, radiasi infra merah (54%) dan radiasi ultra ungu (3%).

"Untuk menjadikan filem tingkap itu berkesan, ia perlu mampu menapis ketiga-tiga elemen tersebut. Sekiranya ia hanya menapis kemasukan cahaya, haba dari sinaran infra merah dan ultra ungu tetap akan memanaskan kabin," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!