Isu klinik ditutup angkara makhluk halus dibawa ke KKM

Pintu utama bangunan klinik ditinggalkan berkunci.
A
A

HULU BERNAM - Penutupan sementara Klinik Desa Gesir Tengah sejak seminggu lalu dipercayai akibat gangguan makhluk halus telah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil tindakan sewajarnya berhubung penutupan sementara itu.

Menurutnya, perkara tersebut diserahkan kepada Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM untuk tindakan lanjut.

"Kita ambil maklum perkara ini dan sudah membawanya kepada Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM.

"JKNS juga sedang giat menjalankan tindakan berkaitan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Akhbar ini semalam melaporkan Klinik Desa Gesir Tengah ditutup sementara selepas gangguan makhluk halus berlarutan sejak 2007.

Dua jururawat masyarakat yang bertugas dihantui beberapa gangguan mistik termasuk jelmaan lembaga hitam berupa perempuan tua.

Meskipun kejadian berlaku pada waktu siang namun mendatangkan trauma kepada jururawat sehingga terpaksa menunggu pesakit di pondok di luar klinik.

Bagaimanapun, gangguan hanya membabitkan kawasan dalam bangunan klinik berikutan penduduk dan pekerja bengkel motosikal berdekatan klinik terbabit tidak mengalami sebarang gangguan aneh.

ARTIKEL BERKAITAN: Klinik ditutup sementara akibat gangguan makhluk halus


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia