Persimpangan Teknokrat 1 di Cyberjaya ditutup mulai 15 Mei

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persimpangan Teknokrat 1, di Jalan Persiaran Apec di Cyberjaya, menghala ke arah Puchong akan ditutup sepenuhnya selama 20 hari bermula dari 15 Mei sehingga 3 Jun.

MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja menggerudi, pemindahan utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

"Sepanjang penutupan, aliran trafik dari Cyberjaya menghala arah Puchong akan dilencongkan ke Jalan Teknokrat 1, Persimpangan Lim Kok Wing,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu satu lagi laluan sepanjang 100 meter Jalan Kuala Selangor (KM48) (Kepong-bound) pula, akan ditutup untuk memberi laluan kepada pelancaran ‘segmental box girder (SBG)’ dan kerja-kerja berkaitan projek.

"Kerja-kerja pembinaan akan bermula dari pukul 10.30malam sehingga pukul 6.00 pagi, selama sebulan dari 1 Mei sehingga 9 Jun. Sepanjang tempoh penutupan, pengguna dari Jalan Kuala Selangor menghala Kepong akan dilencongkan ke jalan di sebelah kiri (menghala Sierramas) sebelum kembali ke Jalan Kuala Selangor (hala Kepong) untuk meneruskan perjalanan ke Kepong,” menurutnya.

Sementara itu di Sentul, Kuala Lumpur; persimpangan lampu isyarat trafik di Jalan St Thomas akan ditutup penuh selama 23 hari mulai 10 Mei sehingga 1 Jun.

Menurut MMC-Gamuda kerja-kerja pembinaan akan dijalankan selama 24 jam sehari, bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan kemudahan stesen MRT, platform, memasang cerucuk, dan lain-lain yang berkaitan.

"Pengguna dari Jalan Ipoh (hala Kepong) yang ingin ke Jalan St Thomas, Taman Kaya, dinasihatkan membuat pusingan-U di lampu isyarat Jalan Khalsa, dan kemudiannya belok ke kiri ke Jalan St Thomas.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna dari Jalan St Thomas, Taman Kaya menghala Jalan Ipoh (hala Kepong) pula dinasihatkan membuat pusingan-U di persimpangan lampu isyarat di The Maple Condominium," katanya.

Pengguna dinasihatkan mematuhi papan tanda yang disediakan di kawasan itu sepanjang penutupan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menelefon 03-7494 2222 atau mayari www.mymrt.com.my - Bernama