Pemimpin Bersatu kena ubah sikap, kata Mahathir

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media khas sempena setahun pemerintahan kerajaan PH di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar mengubah sikap yang mengutamakan agenda peribadi melebihi perjuangan parti.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu berkata, amalan itu perlu diubah dengan memberi contoh terdapat segelintir pemimpin tidak mahu melihat penambahan anggota parti kerana khuatir kedudukan mereka akan tergugat.

“Memang benar keanggotaan kita tidak amat besar. Kita dapati sesetengah amalan itu buruk. Misalnya jika anda dipilih menjadi ketua bahagian maka anda tidak mahu orang lain menyertai Bersatu kerana jika mereka menyertai parti ini mereka mungkin akan menggulingkan anda.

“Jadi lebih baik kita ada parti Bersatu yang kecil sahaja daripada Bersatu yang besar. Jadi kita akan mempunyai jumlah ahli yang kurang dan disebabkan bilangan ahli kurang, maka apabila ada pilihan raya kecil, kita tidak mempunyai orang yang cukup untuk bekerja. Kita terpaksa bawa orang dari tempat-tempat lain,” katanya pada sidang media khas sempena setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap kepuasan terhadap Bersatu yang dianggap sebagai sebuah parti masih muda.

Tegas Dr Mahathir, setiap anggota Bersatu juga perlu memikirkan soal parti sebagai kepentingan utama berbanding jawatan atau wang ringgit semata-mata.

Beliau turut menyingkap perjuangan UMNO ketika era awal penubuhan apabila terdapat anggota yang sanggup mengorbankan kedudukan atau harta benda bagi melihat kelangsungan parti malah tidak mempunyai agenda peribadi untuk merebut sebarang jawatan.

“Saya telah melihat ini berlaku selama 70 tahun, apabila kita menubuhkan UMNO, orang ramai mendermakan wang ringgit mereka. Mereka tidak meminta apa-apa balasan atau hendak menjadi ketua atau meminta apa sahaja. Malah, ramai dalam kalangan mereka apabila diminta untuk menjadi calon menolaknya dan meminta ia diberi kepada orang lain kerana saya tidak layak. Tetapi peristiwa seperti itu sudah tidak ada lagi sekarang.

“Sekarang, walapun anda hanya lulusan darjah satu, anda fikir anda layak untuk menjadi Perdana Menteri. Itu hak anda, jadi perkara seumpama ini bukan sahaja telah menjejaskan Bersatu tetapi juga parti-parti Melayu yang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa mana-mana wanita yang memiliki kebolehan adalah layak dilantik memegang sebarang jawatan.

Bercakap mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang berkuat kuasa 2 Mei lepas, Dr Mahathir berkata, pentadbiran PH adalah berpaksikan kepada kebolehan, bukannya memilih seseorang berdasarkan jantina, warna kulit, agama dan sebagainya.

“Yang jelas, tidak ramai orang mengutuk pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu,” katanya.

Dalam tempoh setahun pentadbiran PH, kerajaan dilihat memenuhi janji pilihan raya untuk meletakkan lebih ramai golongan wanita memegang jawatan pembuat keputusan dan bukan sekadar penyeri atau memenuhi kuota semata-mata.

Ini jelas terbukti dengan pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, menjadikan beliau wanita pertama di negara ini yang dilantik memegang jawatan itu.

Selain Dr Wan Azizah, kepimpinan PH turut dibarisi empat menteri - Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin; Menteri Industri Utama Teresa Kok; serta Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Di samping itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh turut diberi kepercayaan memegang portfolio masing-masing. - Bernama