Nenek lega, cicit bukan lagi dianggap warga asing

Izara Hazreen Mohd Hafis, 6, kini sudah memiliki sijil kelahiran dan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.
Izara Hazreen Mohd Hafis, 6, kini sudah memiliki sijil kelahiran dan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.
A
A
A

MELAKA - Seorang nenek di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini menarik nafas lega apabila cicit bongsunya berusia 6 tahun kini sudah mempunyai sijil kelahiran dan tidak lagi dianggap seperti warga asing setiap kali mendapatkan rawatan di mana-mana hospital kerajaan.

Norlia Kassim, 76, berkata, ibu kandung kepada Izara Hazreen, Zurin Mohd Fuad, 31, yang selama ini menghilangkan diri akhirnya pulang pada Jumaat lalu selepas kisah rayuan supaya wanita itu pulang dipaparkan Sinar Harian 25 April lalu, berhasil.

"Jumaat lalu, ibu kandung kepada Izara Hazreen ada datang dan kami sama-sama pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Melaka untuk menguruskan permohonan sijil kelahirannya.

"Alhamdulillah hari ini, JPN sendiri datang ke rumah serahkan berserta MyKid sekali. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersusah payah membantu menyelesaikan isu ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPN negeri, Norazlee Sulaiman, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batang Tiga, Azlan Osman dan Ahli Jawatankuasa PKR negeri, Mohd Yusof Abdullah.

Sinar Harian pada 25 April lalu melaporkan seorang nenek merayu agar cucunya segera pulang bagi menyelesaikan permohonan sijil kelahiran cicit bongsunya yang berusia 6 tahun selepas ibu kandung kanak-kanak itu menghilangkan diri selepas beberapa hari melahirkan.

Majlis penyerahan sijil kelahiran oleh JPN Melaka kepada seorang kanak-kanak, Izara Hazreen Mohd Hafis, 6 di Kampung Batang Tiga, Klebang, Melaka.
Majlis penyerahan sijil kelahiran oleh JPN Melaka kepada seorang kanak-kanak, Izara Hazreen Mohd Hafis, 6 di Kampung Batang Tiga, Klebang, Melaka.

Selain Izara Hazreen, Norlia terpaksa mengerah tulang empat kerat memelihara dua lagi adik-beradiknya yang lain iaitu Muhammad Izham Iskandar Mohd Hafis, 9 dan Muhammad Izham Hakimi Mohd Hafis, 8.

Artikel Berkaitan:

Izara Hazreen juga menghidap penyakit asma dan kerap menerima rawatan di Hospital Melaka.

Paling sukar apabila pihak hospital kerap mengenakan bayaran bil yang tinggi kerana menganggap Izara seorang warga asing.

Sementara, Norazlee berkata, selain kes Izara Hazreen, hari ini, pihaknya turut menyelesaikan kes pendaftaran kelahiran baru, seorang bayi berusia tiga minggu, membabitkan sebuah keluarga bermasalah di Kampung Batang Tiga.

"Hari ini kita mengadakan lawatan ke rumah-rumah terbabit dan Alhamdulillah pada hari ini juga kita dapat selesaikan semua kes yang diajukan itu.

"Pada hari ini juga kita ada buat penyerahan sijil warganegara kepada enam individu iaitu isteri-isteri kepada warganegara yang telah diluluskan taraf kewarganegaraannya oleh Kementerian Dalam Negeri di Pejabat JPN negeri, Ayer Keroh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek rayu cucu pulang segera