Sejak bila Kit Siang kisah Umno, soal Najib

A
A

KUALA LUMPUR - “Sejak bila Kit Siang ambil berat masa depan Umno?,” demikian soalan dibangkitkan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Soalan itu dibangkitkan susulan kenyataan Veteran DAP, Lim Kit Siang melalui blognya, hari ini bertajuk ‘Penyingkiran Najib daripada Umno mungkin satu-satunya langkah selamatkan Umno daripada pupus walaupun mungkin terlambat’.

“Kit Siang kata Umno hanya boleh diselamatkan jika saya keluar daripada parti.

“Sejak bila Kit Siang mula ambil berat tentang masa depan dan perjuangan Umno? Kit Siang sayang Umno?,” tulisnya di Facebook, hari ini.

Kit Siang dalam blognya menyentuh soal kenyataan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang meninggalkan parti semalam.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Umno kehilangan ahli Parlimen selepas Himpunan ICERD di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Beliau turut menyentuh soal kenyataan Najib semalam yang menyebut bahawa bekas Perdana Menteri itu kecewa melihat rakan-rakan seperjuangannya patah semangat dan mula meninggalkan Umno selain menyifatkan ia proses pemutihan semulajadi.