SAM gesa pantau perbuatan buang sisa, sampah di tepi jalan

Keadaan di jalan ban Sungai Tengah, Changkat di Nibong Tebal yang dipenuhi sampah dan sisa buangan. (Gambar kecil: SM Mohamed)
Keadaan di jalan ban Sungai Tengah, Changkat di Nibong Tebal yang dipenuhi sampah dan sisa buangan. (Gambar kecil: SM Mohamed)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan serius terhadap pihak yang terlibat dengan kegiatan membuang sisa secara haram di tepi jalan.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, SAM mendapati pembuangan sisa domestik, sisa pembinaan serta sisa kilang di beberapa kawasan khususnya di jalan ban kini semakin menjadi-jadi pada masa kini.

Menurutnya, perbuatan ini mungkin dilakukan pihak tertentu sebagai langkah alternatif untuk memudahkan kerja dan tenaga selain lebih menjimatkan kos berbanding dibuang ke tapak pelupusan sisa yang sah.

"Kita percaya masalah yang berlaku ini adalah disebabkan tiada tindakan berkesan yang serius diambil oleh pihak berkuasa terutamanya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan oleh orang awam.

"SAM khuatir jika masalah ini tidak diatasi dengan tindakan lebih tegas, berani dan drastik, dikhuatiri pelbagai masalah lain yang melibatkan isu alam sekitar akan berlaku di masa akan datang," katanya di sini.

SM Mohamed berkata, pihaknya memandang serius tentang kes pembuangan sisa yang berlaku di beberapa jalan ban sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS), bermula dari jeti nelayan Changkat, Nibong Tebal sehingga jalan pintas ke Batu Kawan Industrial Park (BKIP), melalui jalan ban berdekatan kawasan perindustrian Valdor, Sungai Bakap.

Menurutnya, walaupun isu berkenaan pernah dibangkitkan sebelum ini namun tiada tindakan yang diambil malah pihaknya tidak menerima jawapan mahupun respon yang diberikan dari beberapa buah agensi yang berkenaan terhadap perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

SAM mahu penguatkuasa buru pihak yang bertanggungjawab membuang sisa dan sampah sesuka hati.
SAM mahu penguatkuasa buru pihak yang bertanggungjawab membuang sisa dan sampah sesuka hati.

Mengambil contoh masalah pembuangan sampah di jalan ban Sungai Tengah, Changkat di Nibong Tebal yang lama berlaku namun disebabkan tiada pemantauan dijalankan oleh penguatkuasa.

"Bukan sahaja tiada pemantauan, malah tiada sebarang tindakan yang dikenakan ke atas pelaku.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit dengan senang hati meneruskan aktiviti mereka dan mengambil jalan mudah dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai tapak pembuangan secara haram. Ramai daripada kalangan komuniti nelayan dan orang awam yang melalui jalan ini memberi pelbagai reaksi dan pandangan tentang perkara tersebut.

"Ada di antara mereka mempersoalkan tentang jangka hayat deretan pokok bakau di kawasan berkenaan, namun tidak kurang juga ada yang turut mempersoalkan tentang kebersihan di sekitar kawasan terbabit. Adakah kerana lokasi tersebut agak tersorok maka ia dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti pencemaran?" katanya.

Sehubungan dengan itu, pihaknya menggesa agar kerajaan negeri, MPSP, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta JAS menjalankan siasatan dan mengambil perhatian serius bagi mengatasi masalah pembuangan sisa-sisa domestik dan pukal di kawasan ini.

Sebelum ini, Yang Dipertua MPSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani isu-isu longgokan sampah haram di kawasan Seberang Perai.

Menurutnya, ahli-ahli task force itu terdiri daripada Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perkhidmatan Kebersihan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Pengurusan Krisis dan Direktorat Penguatkuasaan.

"Antara tindakan yang telah diambil seperti membuat siasatan forensik ke atas sampah-sampah yang dilonggokkan untuk mencari sumber dan pihak yang terlibat dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Kita juga akan melakukan intipan selain akan menghalang jalan masuk ke kawasan terlibat dengan membuat korekan selebar tiga kaki untuk mencegah pembuangan sisa seterusnya," katanya.