87 bazar Ramadan diperiksa

Dr Norhizan (kiri) sempat bertanya khabar kepada penjual makanan di Bazar Ramadan Pokok Sena sempena kunjungannya untuk tujuan pemeriksaan dan promosi keselamatan makanan hari ini.
Dr Norhizan (kiri) sempat bertanya khabar kepada penjual makanan di Bazar Ramadan Pokok Sena sempena kunjungannya untuk tujuan pemeriksaan dan promosi keselamatan makanan hari ini.
A
A
A

POKOK SENA - Sebanyak 211 notis kompaun telah dikeluarkan kepada premis makanan dan pembekal atas pelbagai kesalahan yang dilakukan termasuk pengendali makanan yang tidak mempunyai suntikan anti tifoid, manakala 16 premis diarah tutup sempena Operasi Pra Ramadan 2019 di Kedah.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, operasi yang bermula April lalu telah memeriksa 240 premis dan pembekal bahan mentah termasuk lima buah kilang ais.

Menurutnya, operasi itu juga melibatkan rampasan ke atas barang-barang yang mempunyai kesalahan tarikh luput, rosak dan pelabelan yang berjumlah RM4,743.

"Operasi ini diteruskan pada Ramadan bagi tahun 2019 di mana pemeriksaan dijalankan di 87 bazar Ramadan di seluruh negeri ini.

"Pada tahun 2018, tiada kes keracunan dilaporkan berpunca dari bazar Ramadan. Namun bagi memastikan makanan yang disediakan atau dijual selamat, Jabatan Kesihatan Kedah akan sentiasa memantau penyediaan makanan di bazar Ramadan melalui Operasi Ramadan 2019.

"Setakat tiga hari pada Ramadan tahun ini, kita belum menerima apa-apa lagi aduan kes keracunan makanan dan berharap tahun ini tiada kes yang dilaporkan," katanya kepada sidang akhbar sebelum mengetuai pemeriksaan dan promosi keselamatan makanan di Bazar Ramadan Pokok Sena di sini hari ini.**

Dr Norhizan (tengah) memberikan penerangan kepada penjual makanan mengenai sampel makanan yang perlu diambil untuk tujuan pemeriksaan di Bazar Ramadan Pokok Sena hari ini.
Dr Norhizan (tengah) memberikan penerangan kepada penjual makanan mengenai sampel makanan yang perlu diambil untuk tujuan pemeriksaan di Bazar Ramadan Pokok Sena hari ini.

Dr Norhizan berkata, selain kebersihan premis, kad suntikan anti tifoid pengendali makanan juga akan diperiksa.

Artikel Berkaitan:

"Sampel makanan juga diambil bagi memantau status kebersihan makanan yang dijual. Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya keputusan analisa sampel tersebut tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya.

Menurutnya, pendidikan kesihatan turut diberikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan makanan bermula dari pembekal, pengendali makanan dan pengguna.

"Pengendali makanan dinasihatkan agar bijak merancang masa penyediaan makanan supaya makanan dihidang tidak melebihi 4 jam.

"Makanan perlu dijual pada suhu yang sesuai dan contohnya makanan seperti cendol dan susu segar hendaklah kekal sejuk," katanya lagi.

Sebanyak 63 penguatkuasa dari JKN Kedah, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyertai operasi tersebut.