RM170 juta masuk ke akaun SRC daripada dua syarikat pembinaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu terdapat pemindahan wang RM170 juta daripada akaun dua syarikat pembinaan ke dalam akaun SRC International Sdn Bhd.

Penolong Pengurus Maybank Kuala Lumpur, Halijah Abdul Wahab, 46, mengesahkan pemindahan wang itu berdasarkan dua penyata akaun Maybank atas nama Permai Binaraya Sdn Bhd dan Putra Perdana Construction Sdn Bhd pada 12 Disember 2014 dan 7 Januari 2015.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sulaiman Kho Kheng Fuei pada perbicaraan hari ke-15 kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi tujuh pertuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Permai Binaraya adalah anak yyarikat Putra Perdana Development Sdn Bhd (PPD) manakala Putra Perdana Construction adalah anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Dua pemindahan wang masing-masing dari akaun Maybank milik Permai Binaraya bernombor 014011546000 sebanyak RM30 juta pada 7 Januari 2015 manakala Putra Perdana Construction sebanyak RM140 juta pada 12 Disember 2014.

"Saya merujuk kepada surat arahan pindahan dari akaun Putra Perdana Construction dengan nombor 014011327183 dan Permai Binaraya dengan nombor 514012042754 ke SRC International Sdn Bhd dengan nombor akaun 2112022010650 pada 12 Disember 2014 dan 7 Januari 2015.

"Saya juga merujuk kepada baucer dari Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) yang dilakukan bagi kedua-dua transaksi itu dan mengesahkan ia telah selesai," kata saksi pendakwaan ke-31 itu.

Halijah berkata berkata pemindahan wang tersebut dibuat selepas pihak bank mendapat surat arahan pindah wang serta melalui beberapa proses termasuk pengesan tanda tangan dan kedudukan kewangan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya Sulaiman sekiranya terdapat bantahan dari pihak pelanggan Maybank (Permai Binaraya dan Putra Perdana Construction) dalam kesemua urusan transaksi pemindahan itu, saksi menjawab 'Tiada'.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama