X

Kindly register in order to view this article
!

JAINJ tingkat operasi banteras 'kaki ponteng puasa'

Halid Sono
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) meningkatkan operasi membanteras gejala ponteng puasa dalam kalangan umat Islam di seluruh negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata, seramai 70 pegawai penguatkuasa JAINJ telah diarahkan untuk terlibat dalam Ops Gempur Ramadan yang diadakan sepanjang Ramadan di seluruh daerah di negeri ini.

"Dalam operasi ini, kita akan mengesan dan menangkap umat Islam yang sengaja makan atau minum di khalayak umum (tidak berpuasa) tanpa halangan dan uzur syarie," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Halid berkata, operasi juga akan memberikan tumpuan kepada mana-mana premis dan individu yang bertanggungjawab membenarkan umat Islam negeri ini makan atau minum secara terbuka dalam tempoh puasa.

Beliau berkata, bagi kesalahan itu tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut Seksyen 15 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

"Kita boleh ambil tindakan mengikut Seksyen 15 (a) kepada peniaga kerana menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya dalam waktu itu (berpuasa).

"Manakala, bagi yang ditangkap tidak berpuasa pula boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(b). Kedua-dua kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan kali kedua, individu yang ditahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!