Perak lancar buku panduan keselamatan kanak-kanak

Ahmad Faizal bersama-sama Exco kerajaan negeri dan pelajar sekolah yang hadir ketika majlis pelancaran tersebut di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ahmad Faizal bersama-sama Exco kerajaan negeri dan pelajar sekolah yang hadir ketika majlis pelancaran tersebut di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak melancarkan Buku Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak yang pertama seumpamanya di negara ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai usaha membendung kes penderaan kanak-kanak di negeri ini.

Menurutnya, semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini akan menerima naskhah buku tersebut yang dicetak dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan Tamil.

"Saya harap dengan adanya buku ini, guru dan ibu bapa dapat memastikan anak-anak kita faham tentang apa yang mereka perlu buat jika dibuli, didera dalam apa juga bentuk sekalipun dan membawa perkara ini kepada pihak bertanggungjawab bagi memastikan tidak ada lagi kejadian penderaan kanak-kanak di negeri ini.

"Saya mahu semua bercakap tentangnya kerana penderaan kanak-kanak ini sesuatu yang kita benci seperti mana kita benci dadah dan rasuah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Buku Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama pada pelancaran tersebut, Exco-Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, Ruhaini Zawawi dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Sementara itu, Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Masyarakat Perak, Wong May Ing berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri akan turun ke daerah-daerah di negeri ini memberikan taklimat kepada semua guru kaunseling, guru besar dan pengetua mengenai buku tersebut.

Katanya, perkara itu dilakukan supaya mereka memahami intipati buku yang hendak disampaikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 540,000 naskhah buku tersebut dicetak dengan 363,000 naskhah akan diagihkan kepada pelajar sekolah dan selebihnya diedarkan ke jabatan-jabatan kerajaan, pejabat pendidikan daerah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).