Samsung yakin permintaan tinggi terhadap TV skrin besar

No Image Caption
A
A
A

SAMSUNG Malaysia Electronics mengunjurkan permintaan tinggi terhadap segmen televisyen skrin besarnya dengan pelancaran televisyen (TV) revolusi QLED 8K terbarunya.

Ketua Bahagian Audiovisual Vincent Lee berkata permintaan terhadap TV skrin besar mula meningkat selepas pengenalan TV resolusi 4K.

"Bahagian untuk saiz skrin besar daripada 65 inci ke atas meningkat dengan ketara sebanyak dua digit dari tahun ke tahun,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran TV 98 inci QLED 8K baharu, di sini, hari ini.

Menurut Lee, ketika ini, TV 4K menyumbang 65 peratus daripada keseluruhan penjualan televisyen di Malaysia berbanding hanya enam peratus pada 2015.

"TV resolusi 4K menerima sambutan yang baik di Malaysia. Kami percaya dengan saiz skrin yang lebih besar, TV resolusi 8K akan turut diterima dengan baik,” katanya.

Mengikut peredaran semasa, beliau berkata TV skrin besar akan menjadi fokus utama syarikat itu pada masa hadapan.

"Di Samsung kami pasti masih mempunyai semua jenis TV untuk memenuhi keperluan pengguna kami. Bagaimanapun, kami percaya permintaan akan beralih daripada 65 inci kepada 98 inci,” kata Lee dan menambah Samsung telah menjadi peneraju global TV selama 13 tahun berturut-turut.

Beliau berkata, TV 98 inci QLED 8K adalah tawaran terbesar oleh Samsung dan akan dijual pada harga RM299,999, sementara bagi varian 82-inci dan 75-inci akan ditawarkan masing-masing pada harga RM99,999 dan RM59,999.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, syarikat tersebut juga memperkenalkan TV 4K daripada saiz 49-inci hingga 82-inci sebagai sebahagian daripada pengeluaran TV QLED pada 2019, dengan harga bermula daripada RM4,999.

Ciri-ciri TV QLED Samsung 2019 ialah HDR10+, format pemprosesan gambar premium yang menjadikan babak cerah lebih cerah dan babak gelap lebih gelap.

Ia juga dilengkapi dengan pengesan kawalan cahaya automatik dan teknologi skrin magik, di mana pengguna boleh menetapkan kandungan hiasan paparan dengan maklumat berguna, gambar dan meniru tekstur dinding di belakangnnya.

Syarikat itu juga akan mengadakan jerayawara di centre court Mid Valley bermula hari ini hingga 12 Mei bagi mempromosikan produk baharu itu termasuk soundbar N950 dengan Harman Kardon yang dilancarkan tahun lepas. - Bernama