'Saya hanya langkah kawat berduri untuk masuk Malaysia'

Saksi, bekas wartawan Malay Mail Arulldas Sinnappan (kanan) bersama jurufoto akhbar itu Sayuti Zainudin sebaik keluar dari bilik prosiding selepas selepas memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, yang memasuki hari ketujuh di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini. - Foto Bernama
Saksi, bekas wartawan Malay Mail Arulldas Sinnappan (kanan) bersama jurufoto akhbar itu Sayuti Zainudin sebaik keluar dari bilik prosiding selepas selepas memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, yang memasuki hari ketujuh di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Saksi ke-22 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini memberitahu beliau hanya melangkah gulungan dawai kawat paras peha untuk masuk ke Malaysia dari Thailand pada Mei 2015.

Mohd Sayuti Zainuddin, jurugambar akhbar Malay Mail berkata pada 13 Mei 2015, beliau bersama bekas wartawan daripada akhbar sama S. Arulldas dan dua warga Thailand yang menjadi ‘sumber berita’ mereka cuba mencari kem Wang Kelian dari Thailand setelah cubaan dari Malaysia gagal.

“Dari Padang Besar kami berempat menaiki pacuan empat roda selama sejam ke sebuah kebun di Ban Talok, Sadao di Thailand.

“Dari kebun itu kami berjalan mendaki bukit selama 45 minit sehingga nampak batu sempadan Malaysia-Thailand bertulisan Thai. Selepas batu sempadan itu kami hanya langkah kawat duri untuk masuk ke Malaysia,” katanya.

Menurut Mohd Sayuti, tidak jauh dari dawai kawat berkenaan, mereka menemui sebatang sungai yang dipercayai menjadi tempat pendatang tanpa izin mandi dan minum.

"Tidak jauh dari sungai tersebut kami berempat menemui lima struktur tanah berbentuk kubur yang ditutup daun dan kelihatan masih baharu di Bukit Genting Perah di Wang Kelian, Malaysia," katanya. Pada prosiding hari ini, Mohd Sayuti ditunjukkan gambar yang beliau ambil ketika cuba masuk ke Malaysia melalui Thailand dan beliau mengesahkan gambar itu.

Sementara itu, Arulldas dalam keterangannya pula berkata sejak Mac 2015 hingga awal Mei 2015, beliau cuba menjejaki kem Wang Kelian dari Malaysia sebanyak enam kali namun gagal.

“Saya tidak berani untuk bertanya kepada penduduk tempatan kerana khuatir mereka adalah ejen kepada sindiket penyeludupan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Arulldas berkata beliau ‘secara tidak sengaja’ mendapat tahu mengenai kubur besar dan kem Wang Kelian ketika membuat laporan khas peningkatan kes bunuh kelar leher warga asing sebelum mayat dibuang di sekitar Seberang Perai pada hujung 2014 dan awal 2015.

Ketika diminta membuat perbandingan mengenai laluan ke Kem Wang Kelian dari Malaysia dan Thailand yang mana lebih mudah, Arulldas menyifatkan laluan dari Thailand lebih mudah dan kelihatan seperti biasa digunakan orang lain sebelum itu.

RCI Wang Kelian akan bersambung esok. - Bernama