Tiga beranak maut: Pemandu kereta direman

Suspek (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Tanah Merah.
A
A

TANAH MERAH - Lelaki warga Thailand yang merempuh sebuah motosikal sehingga mengakibatkan seorang ibu dua anak maut serentak di Kampung Nibong di sini semalam direman selama empat hari.

Suspek yang berusia 25 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Tanah Merah pada jam 10.30 pagi tadi sebelum prosiding reman selesai jam 11.30 pagi.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Armi Najamuddin Azmi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, suspek direman bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku mendapatkan bekalan daun ketum dari suatu kawasan di negeri ini untuk bekalan di Tanah Merah.

“Namun, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini (menyeludup daun ketum) mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kampung Gual Jedok di sini.

Suzaimi bersama beberapa pegawainya yang hadir memberikan sumbangan kepada keluarga mangsa berkata, kes kemalangan tersebut ketika ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kita mencadangkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 44 APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah kerana ujian air kencingnya juga positif mengambil dadah jenis syabu atau pil kuda.

“Namun kita perlu menunggu laporan kimia terlebih dahulu dan Seksyen 44 APJ 1987 ini membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beranak maut dilanggar kereta bawa daun ketum

Semalam, tiga beranak maut dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta Proton Wira yang bermuatan daun ketum di Kampung Nibong di sini.

Dalam Kejadian jam 7.30 pagi, mangsa Norzurita Shah Kadir, 26 menunggang motosikal jenis Ex-5 dan dua anaknya, Muhammad Adam Mukhriz Adnan, 6 dan Siti Husna Qaisara Adnan, 4, membonceng motosikal berkenaan.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Jeli untuk menghantar anaknya ke sekolah tabika manakala pemandu kereta berkenaan dari arah bertentangan.

Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dirempuh dari arah depan selepas pemandu kereta terbabit dikatakan hilang kawalan dan masuk ke laluan mangsa.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pemandu Proton Wira warga Thailand berumur 25 tahun itu dipercayai dalam pengaruh dadah jenis pil kuda.

"Dipercayai suspek membawa muatan daun ketum seberat 150 kilogram dalam kereta Proton Wira berkenaan.

"Suspek membawa muatan daun ketum itu dalam but dipercayai untuk pasaran Tanah Merah.

"Akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh dalam kawasan semak berhampiran dan tercampak sejauh lima meter antara satu sama lain," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia