Tak perlu tutup sementara, boleh berniaga seperti biasa

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga premis makanan di Kelantan dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa perlu menutup sementara bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini tiada arahan rasmi dikeluarkan kepada peniaga supaya menutup atau menghentikan sementara operasi ketika solat terawih.

Menurutnya, saranan itu pada asalnya dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ia belum sampai ke peringkat bawahan (peniaga).

“Peniaga boleh membuka premis seperti biasa kerana arahan ini baharu di peringkat pentadbiran.

“Kerajaan Kelantan menghormati pandangan, tetapi kita harap semua pihak melihat isu ini daripada sudut positif,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai makan, restoran tutup sementara waktu tarawih

Terdahulu, Kerajaan Kelantan mengarahkan penutupan sementara gerai makan dan restoran pada jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan ini.

Langkah tersebut adalah untuk memastikan semua pihak dapat menghormati bulan Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhamad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara tersebut dan arahan itu dikatakan berkuat kuasa serta-merta.

Surat arahan kerajaan negeri yang tular sebelum ini.
Surat arahan kerajaan negeri yang tular sebelum ini.

Surat arahan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada PBT tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp kerana mengarahkan premis makanan menutup sementara kedai makan bermula jam 8.30 hingga 10.00 malam bagi menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat tarawih.

ARTIKEL BERKAITAN: Nik Abduh minta kerajaan Kelantan tarik balik arahan

Susulan itu, Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz mahu kerajaan Kelantan menarik balik surat pekeliling yang dikeluarkan melibatkan arahan penutupan dan menghentikan sementara operasi kedai makan yang mula tular di laman-laman sosial semalam.

Nik Abduh melalui hantaran Facebook miliknya memberitahu, beliau menerima kiriman surat tersebut daripada seseorang dan selepas mengesahkan kebenarannya, beliau berharap perkara tersebut dipertimbangkan kembali kerajaan negeri.

“Saya dengan ini berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik. Ia mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadan. Rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadan wajar digalakkan, bukan dihalang.

“Pada bulan kelebihan ini, umat Islam adalah digalakkan menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah Rasullullah SAW,” katanya.